INTERNATIONAL
COVID-19: Amerika Syarikat lepasi angka 12 juta kes
Orang ramai mula membuat persiapan membeli belah sempena Thanksgiving dan Krismas di Macy's Herald Square, New York City, New York, 20 Nov, 2020. REUTERS
KES positif jangkitan COVID-19 di Amerika Syarikat kini berjumlah 12,079,296.
Data terkini Johns Hopkins University mendedahkan, kes di AS dicatatkan mencecah 12 juta hanya enam hari selepas ia melepasi 11 juta.
Peningkatan itu mencetuskan kebimbangan, sekali gus memaksa pihak berkuasa tempatan di kebanyakan bandar raya besar mengenakan kembali perintah kawalan pergerakan.
Orang ramai juga digesa berada di rumah pada cuti sambutan Hari Kesyukuran (Thanksgiving) pada 26 November dan tidak berkumpul bersama keluarga.
Bandar raya New York sudah menutup sesi persekolahan untuk 1.1 juta pelajarnya manakala California mula mengenakan perintah berkurung pada jam 10 malam hingga 5 pagi bermula Sabtu.
Chicago, bandar ketiga terbesar di Amerika pula, sudah melaksanakan perintah berkurung sejak Isnin lalu.
Pada Jumaat, anak sulung Donald Trump, Donald Trump Jr, diumumkan turut dijangkiti COVID-19 dan sedang menjalani kuarantin.
Anak lelaki Trump itu disahkan positif menerusi kontak rapat dengan individu di White House.
Pentadbiran Presiden Trump sebelum ini dikritik hebat kerana gagal membendung penularan jangkitan virus itu secara berkesan dan tidak mengambil serius mengenai bahaya pandemik itu.
#COVID-19
#pandemik
#perintah berkurung
#perintah kawalan pergerakan
#Amerika Syarikat
#New York
#California
#Donald Trump
#White House
#keluarga
#Johns Hopkins University
#kes positif
#Thanksgiving