JUMLAH kumulatif kes positif COVID-19 di seluruh dunia kini hampir mencecah 58 juta.

Susulan lebih ratusan ribu jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam, kes positif global kini berjumlah 57,974,667.

Setakat pagi Ahad (22 November), data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat kekal negara paling teruk terjejas dengan 12.04 juta kes jangkitan.

Ini diikuti India dengan 9.05 juta kes, manakala Brazil merekodkan 6.02 juta kes.

Jangkitan positif COVID-19 di Perancis (2,160,372), Rusia (2,047,563), Sepanyol (1,556,730), United Kingdom (1,497,129), Itali (1,380,531), Argentina (1,366,182), Colombia (1,240,493) dan Mexico (1,025,969) pula melepasi satu juta kes.

Sementara itu, Peru (946,087), Jerman (918,098), Poland (843,475), Iran (841,308), Afrika Selatan (765,409), Ukraine (629,850), Belgium (553,680), Chile (539,143) dan Iraq (533,555) termasuk dalam negara yang merekodkan lebih setengah juta kes.

Negara dalam lingkungan angka 300,000 hingga 500,000 kes jangkitan koronavirus adalah Indonesia (493,308), Republik Czech (489,563), Belanda (486,807), Bangladesh (445,281), Turki (440,805), Filipina (416,852), Romania (412,808), Pakistan (371,508), Arab Saudi (355,034), Israel (328,397), Kanada (326,462) dan Maghribi (320,962).

Sementara itu, sebanyak 29 negara merekodkan angka positif dalam lingkungan 100,000 hingga 300,00 kes.

Kebanyakan negara lain masih merekodkan angka positif di bawah 100,000 kes, termasuk Malaysia.

Sementara itu, jumlah kumulatif kematian akibat pandemik COVID-19 hampir 1.38 juta kes di seluruh dunia.

Statistik Johns Hopkins University menunjukkan, jumlah kumulatif kematian global akibat COVID-19 terkini adalah sebanyak 1,378,411 kes.

Amerika Syarikat kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 255,541 kes, diikuti Brazil dengan 168,613 kes.

India dan Mexico pula masing-masing merekodkan lebih 132,726 dan 100,823 kes kematian, manakala kematian di United Kingdom mencatat 54,721 kes.

Sementara itu, negara yang melepasi angka 40,000 kes kematian adalah Itali (49,261), Perancis (48,341), Iran (44,327) dan Sepanyol (42,619).

Argentina (36,902), Peru (35,484), Rusia (35,442) dan Colombia (35,104) pula merekodkan angka korban melebihi 30,000 kes.

Negara-negara lain masih merekodkan angka korban 20,000 kes dan ke bawah.