JAKARTA:Sehingga jam 12 tengah hari Ahad (14 Februari), Indonesia mencatatkan sejumlah 6,765 kes baharu jangkitan virus korona, menurut data agensi pengurusan COVID-19 negara itu.

Setakat ini, republik berkenaan sudah merekodkan jumlah keseluruhan kes positif seramai 1,217,468 kes. Angka terbaru itu adalah berdasarkan hasil ujian saringan terhadap 35,894 spesimen dalam 24 jam terakhir.

Dari statistik terbaru itu, lima provinsi atau wilayah menunjukkan pertambahan kes baharu tertinggi.

Lima wilayah itu adalah Jakarta dengan 2,496 kes, Jawa Barat (882 kes), Jawa Timur (516 kes), Jawa Tengah (478 kes), dan Sulawesi Selatan (354 kes).

Penularan wabak COVID-19 secara keseluruhan kini dikesan di 510 daerah dan kota yang terdapat di 34 wilayah.

Terdapat tambahan sejumlah 247 pesakit yang meninggal dunia, sekali gus menjadikan jumlah angka korban akibat COVID-19 seramai 33,183 orang.

Walau bagaimanapun, Negara Garuda itu terus menunjukkan perjuangan pemulihan apabila seramai 9,237 pesakit telah sembuh, menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang telah pulih dari COVID-19 adalah 1,025,273 orang.

Program vaksinasi di republik berkenaan sudah bermula sejak awal Februari, dengan kelulusan penggunaan vaksin Sinovac Biotech dari China untuk diberikan kepada golongan pekerja barisan hadapan dan juga warga tua.

Menteri Kesehatan Budi Gunadi Sadikin mengatakan, tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun diperlukan untuk menyelesaikan proses vaksinasi COVID-19 di seluruh Indonesia.