TOKYO: ukan Asia akan datang di tengah Jepun bakal menampilkan e-sukan sebagai acara pingat buat kali kedua, sekali gus meningkatkan harapan terhadap pertumbuhan lanjut permainan video kompetitif, lapor Kyodo News.
Naib Pengerusi Japan Esports Union, Masato Ochi menyifatkan Sukan Asia sebagai “titik perubahan besar dalam menarik lebih ramai orang”.
E-sukan membuat penampilan sulung sebagai acara pingat pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, yang ditangguhkan hingga 2023 akibat pandemik COVID-19.
Sebelum itu, e-sukan dipertandingkan sebagai acara demonstrasi pada Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia.
Sebanyak 11 acara e-sukan menawarkan pingat pada Sukan Asia dari 19 Sept hingga 4 Okt di Wilayah Aichi, dengan tumpuan di sekitar Nagoya.
Senarai acara itu termasuk “eFootball”, permainan perlumbaan “Gran Turismo 7” dan acara berpasukan seni mempertahankan diri yang menampilkan francais popular “Street Fighter”.
Kelayakan Jepun bagi Sukan Asia diadakan di Tokoname, Aichi pada Mac sebagai sebahagian daripada perhimpunan bertemakan e-sukan dan pertandingan rintis bagi temasya itu.
Acara berkenaan menarik kira-kira 10,000 pengunjung dalam tempoh dua hari.
“Kami mahu memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di tempat sendiri di Jepun dan bekerjasama untuk melakukan yang terbaik,” kata anggota pasukan Jepun, Higuchi, yang menggunakan satu nama.
Menurut JESU, jumlah peminat termasuk mereka yang menonton perlawanan e-sukan dan video penstriman di Jepun dianggarkan kira-kira 9.67 juta pada 2024, manakala pasaran domestik diunjurkan mencecah 16.1 bilion yen (US$101 juta), meningkat 9.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Ramai orang pernah mendengar perkataan ‘e-sukan’, tetapi masih belum benar-benar mengetahui maksudnya. Saya berharap jumlah pemain akan meningkat menerusi Sukan Asia,” kata Ochi.
-- BERNAMA-KYODO