KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa di India telah memberi kelulusan untuk vaksin COVID-19 jenis 2-DG buatan negara itu sendiri, digunakan di hospital di Delhi, biarpun tidak mempunyai data klinikal yang mencukupi.

Agensi berita BBC memetik kenyataan kerajaan India sebagai berkata, penggunaan vaksin itu bakal memberikan kelebihan yang besar terhadap mereka yang sedang menderita akibat pandemik itu.

Bagaimanapun beberapa pengkritik menzahirkan kebimbangan tentang kekurangan data untuk menyokong penggunaan vaksin tersebut sebagai rawatan COVID-19.

Vaksin jenis 2-deoxy-D-glucose telah dibangunkan oleh Defence Research and Development Organisation (DRDO) dengan kerjasama syarikat farmaseutikal Dr Reddy’s.

“Ujian percubaan klinikal yang dijalankan menunjukkan molekul ini membantu mempercepatkan proses penyembuhan pesakit di hospital, dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan oksigen,” menurut kenyataan kerajaan India lagi.

Kerajaan India berkata, ujian fasa ketiga telah dijalankan terhadap 220 pesakit antara Disember 2020 hingga Mac tahun ini, di 27 hospital, dan data menunjukkan pesakit mula bebas daripada gejala, serta kurang kebergantungan kepada bantuan oksigen.

Vaksin itu datang dalam bentuk serbuk, yang perlu dibancuh dengan air sebelum diminum.

“Ia kemudian akan berkumpul dalam sel yang telah dijangkiti,  dan menghalang pertumbuhan virus tersebut dengan menghentikan proses sintesis dan penghasilan tenaga.

“Perkumpulan secara terpilih dalam sel berjangkit menjadikan ubat ini unik,” menurut kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun ia masih belum mendapat keyakinan pakar-pakar kesihatan tentang kadar keberkesanan, di samping dakwaaan bahawa ubat itu asalnya adalah untuk rawatan kanser.

India ketika ini telah menjadi pusat kepada pandemik itu, dengan catatan 24 juta kes serta 270,000 kematian sehingga hari ini.