DUBLIN: Ireland, yang merupakan salah satu negara Eropah yang paling lama mengenakan sekatan pergerakan (lockdown) akibat COVID-19, akan memansuhkan hampir kesemua larangan sekatan akibat pandemik pada Oktober.

Reuters melaporkan, keputusan itu adalah selepas program vaksinasi di negara itu paling berjaya dilaksanakan, menurut Perdana Menteri Micheal Martin, pada Selasa.

Bermula 22 Oktober, keperluan untuk menunjukkan sijil vaksinasi di bar dan restoran akan dimansuhkan, termasuk juga semua had bilangan pengunjung yang menghadiri acara di tempat terbuka atau tertutup.

Sebagai sebahagian daripada fasa melonggarkan larangan, kerajaan Ireland mencadangkan pembukaan semula panggung wayang dan teater dengan kapasiti 60 peratus minggu depan, selain pekerja bukan sektor penting dibenarkan kembali ke pejabat pada 20 September.

"Oleh kerana usaha pasukan vaksinasi dan kerana anda telah mematuhi dan menerima vaksin, kita kini memasuki fasa baharu pandemik,” ujar Martin dalam satu perutusan di televisyen.

Hampir 90 peratus orang dewasa dan 80 peratus mereka yang berusia 12 tahun ke atas di Ireland telah mendapat dos vaksin lengkap.

Aktiviti menjamu selera di kafe, bar dan restoran telah dilarang di negara itu selama kira-kira 16 bulan hingga Julai lalu, dan ketika itu kerajaan hanya membenarkan mereka yang telah lengkap divaksinasi berurusan di luar.

Kerajaan Irish pada minggu-minggu kebelakangan ini menerima kritikan daripada sektor acara langsung apabila konsert berskala besar dilihat dianjurkan du United Kingdom, yang telah memansuhkan banyak larangan pergerakan pada 19 Julai walau kadar vaksinasi lebih rendah.

Martin bagaimanapun mengingatkan rakyatnya, bahawa kenaikan kes jangkitan baharu dalam minggu-minggu seterusnya akan berlaku, sebelum kembali menurun.

"Kita tidak akan mampu untuk menghapuskan virus ini keseluruhannya,” kata Martin.