Skip to main content

Dunia

PM Thailand arah perbincangan segera dengan Malaysia berhubung sekatan sementara import udang

41582733074_AnutinCharnvirakul.jpg
Anutin (foto) mengeluarkan arahan berkenaan semasa mesyuarat kabinet atas dasar kepentingan untuk melindungi mata pencarian penternak udang dan pekerja di sepanjang rantaian bekalan industri itu. -Gambar fail

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul pada Selasa mengarahkan perbincangan segera diadakan dengan Malaysia berhubung sekatan sementara import lima spesies udang dari negara itu, selain mengingatkan bahawa sekatan yang berpanjangan boleh menjejaskan penternak, pengekspot serta rantaian bekalan makanan laut yang lebih luas.

Arahan itu dikeluarkan selepas Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia mengumumkan penggantungan sementara import lima spesies udang dari Thailand berkuat kuasa 1 Jun, sebagai sebahagian daripada langkah kawalan lebih ketat terhadap produk perikanan dari negara jiran itu.

Spesies yang terlibat ialah Penaeus esculentus (udang harimau coklat), Fenneropenaeus merguiensis (udang kaki merah/putih), Penaeus vannamei (udang putih lutz), Penaeus monodon (udang harimau) dan Penaeus stylirostris (udang biru).

Jurucakap kerajaan Ratchada Thanadirek berkata Anutin, yang juga Menteri Dalam Negeri, mengeluarkan arahan berkenaan semasa mesyuarat kabinet atas dasar kepentingan untuk melindungi mata pencarian penternak udang dan pekerja di sepanjang rantaian bekalan industri itu.

"Jika isu ini dibiarkan berlarutan, ia boleh menjejaskan harga udang di peringkat ladang serta pendapatan pengusaha kecil," katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Kabinet di Rumah Kerajaan pada Selasa.

Ratchada berkata Perdana Menteri telah mengarahkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perdagangan, bersama-sama Kementerian Pertanian dan Koperasi, untuk mengadakan perbincangan segera dengan pihak berkuasa Malaysia bagi mencari penyelesaian yang dapat melindungi perdagangan dua hala di samping memastikan penternak Thailand tidak menanggung bebanan itu bersendirian.

“Perdana Menteri menegaskan bahawa isu ini tidak seharusnya menjadi beban yang ditanggung oleh penternak sahaja, memandangkan industri udang menyokong keseluruhan rantaian bekalan termasuk pengusaha ladang, pengumpul, kilang pemprosesan, pengeksport serta tenaga kerja yang besar," katanya.

Beliau berkata agensi berkaitan turut diarahkan untuk menyediakan langkah-langkah bagi mengurangkan kesan sekatan berkenaan, termasuk menstabilkan harga di peringkat ladang, menguruskan sebarang lebihan bekalan dalam domestik serta mempercepatkan usaha untuk meneroka pasaran eksport alternatif.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement