GENEVA:Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sarankan penjujukan genom terhadap koronavirus perlu ditingkatkan bagi memantau mutasi virus tersebut.

Selain itu, vaksin COVID-19 harus diedarkan secara adil ke seluruh dunia bagi mengurangkan jumlah kematian.

Menurut Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Grebreyesus, adalah penting bagi setiap negara mengambil langkah kesihatan awam untuk kekang jangkitan.

Ini selepas jumlah kes kematian di seluruh dunia mencecah dua juta kes.

Virus mutasi pula kini sudah dikesan di beberapa negara.

“Beberapa negara di Eropah, Afrika dan juga Amerika menyaksikan lonjakan kes yang penularannya disebabkan beberapa faktor. Antaranya kita masih gagal memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di peringkat masyarakat,” jelasnya.

Gesaan yang sama turut dibuat Jawatankuasa Kecemasan yang meminta peningkatan kapasiti penjujukan genom koronavirus agar dapat memantau secara efektif perubahan dilalui virus.

Dalam perkembangan yang sama, Dr. Tedros menggesa pemberian vaksin COVID-19 secara adil.

Beliau juga berharap agar semua negara memberikan vaksinasi kepada petugas kesihatan dan kumpulan berisiko tinggi dalam 100 hari berikutnya.

Senada dengan Dr. Tedros ialah Penolong Ketua Pengarah WHO, Dr. Mariaangela Simao yang turut menekankan kesaksamaan vaksin COVID-19.

“Ketika ini 46 negara telah memulakan program vaksinasi dan daripada jumlah itu, 38 merupakan negara berpendapatan tinggi. Kita adakan fasiliti COVAX ini bagi memastikan semua negara di seluruh dunia mempunyai akses kepada vaksin yang selamat dan berkesan,” jelas Dr. Mariaangela.

Berdasarkan data WHO, terdapat 170 calon vaksin dalam peringkat kajian dan 65 vaksin dalam ujian klinikal dan 15 di fasa ketiga ujian klinikal.