OTTAWA: Kanada memutuskan untuk terus melanjutkan langkah-langkah kawalan pencegahan COVID-19 bagi pelancong asing yang mahu masuk ke negara itu.

Agensi Kesihatan Awam Kanada (PHAC) maklumkan, kawalan pencegahan untuk pelancong yang tiba di Kanada dijangka berkuatkuasa hingga 30 September 2022.

Menteri Kesihatan Jean-Yves Duclos dalam pada itu berkata, walaupun Kanada kini bergerak dan melangkah ke fasa seterusnya dalam tindak balas COVID-19, adalah penting untuk terus diingatkan bahawa wabak COVID-19 belum berakhir.

Justeru itu katanya, warga Kanada wajar terus melakukan semua yang termampu demi memastikan diri dan orang lain selamat daripada virus itu.

Menurut beliau lagi, walaupun dilanjutkan, langkah-langkah di sempadan Kanada kekal fleksibel dan mudah diadaptasi.

Ujian secara rawak akan diteruskan di semua lapangan terbang sehingga pertengahan Julai.

Manakala ujian mandatori itu diteruskan di pintu masuk sempadan darat, tanpa sebarang perubahan.

Pengembara yang tidak lengkap vaksinasi, melainkan mendapat pengecualian perubatan, akan terus menjalani ujian COVID-19 pada hari pertama dan hari kelapan di sepanjang tempoh kuarantin 14 hari mereka.