NAIROBI:Presiden Kenya, Uhuru Kenyattah merasmikan sebuah hospital baharu di Nairobi, yang dilengkapi dengan kemudahan rawatan COVID-19, khas untuk kakitangan PBB, diplomat dan pihak yang mampu mendapatkan rawatan.

Hospital baharu yang mempunyai kapasiti 100 katil itu dibina dengan kerjasama PBB dengan kos AS$8 juta.

"Saya percaya, kemudahan ini akan berfungsi sebagai model untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afrika dan di peringkat global.

"Ia akan memenuhi keperluan kakitangan PBB dan keluarga mereka, seluruh komuniti diplomatik di Kenya dan meningkatkan keupayaan kesihatan di Kenya," kata Kenyattah ketika majlis perasmian pada Jumaat.

Bagaimanapun, kebanyakan penduduk Kenya yang dijangkiti wabak itu tidak akan mampu membayar bil hospital canggih tersebut dan majoritinya kurang atau tidak percaya pada sistem penjagaan kesihatan.

Di bandar Kilifi di pesisir Kenya, Zainab Rajab, seorang ibu kepada empat anak berusia 47 tahun melakukan apa yang kebanyakan orang Kenya lakukan di kawasan luar bandar Kenya - menyediakan ubat tradisional.

Dia membuat ramuan air halia dan lemon yang dipercayai berfungsi dengan baik untuk meningkatkan sistem imunisasi tubuh dan memerangi virus.

"Orang takut untuk ke hospital bagi menjalani ujian kerana rakan kami memberitahu proses rawatan dan ujian untuk COVID-19 sangat menyakitkan," katanya.

Dalam pada itu, Kenya telah memulakan percubaan fasa pertama salah satu vaksin COVID-19 terkemuka yang dikembangkan oleh University of Oxford dengan kerjasama syarikat farmasi, AstraZeneca.

Minggu ini, mereka akan memulakan percubaan vaksin yang menyasarkan 40 pekerja barisan hadapan.