KUALA LUMPUR:Ketua Pegawai Kesihatan Australia Paul Kelly mempertahankan tindakan kerajaan yang melancarkan penggunaan vaksin AstraZeneca untuk COVID-19, ketika beliau tidak mahu lagi meyakinkan golongan anti-vaksin mengenai kebaikan vaksin tersebut.

Kelly berkata, rakyat Australia menunjukkan sikap yang bertanggungjawab untuk bersetuju dengan penggunaan vaksin berkenaan, khususnya untuk kanak-kanak dan masyarakat yang lebih meluas.

“Kami tahu keyakinan adalah asas kepada usaha ini. Cuma ada segelintir daripada mereka yang tidak percaya dengan vaksin, dan kami tidak boleh meyakinkan mereka lagi,” katanya lagi.

Kelly berkata, kajian menunjukkan majoriti rakyat Australia bersetuju dengan penggunaan vaksin, dan mereka positif dengan vaksin COVID-19 yang dipilih kerajaan Australia.

Dalam pada itu beliau berkata, AstraVeneca dipilih kerana ia lebih mudah dihasilkan di negara itu, bukan kerana ia lebih efektif berbanding yang lain.

“Pilihan ini dibuat bukan kerana ia lebih baik berbanding yang lain. Ia adalah mengenai mana satu yang boleh dihasilkan dan diedarkan secara maksimum bagi tujuan menyelamatkan dan melindungi nyawa untuk tahun ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Australia and New Zealand Society of Immunology berpandangan, berdasarkan bukti semasa, mereka tidak boleh bergantung kepada AstraZeneca semata-mata untuk mengawal pandemik itu di Australia.

Ujian klinikal fasa tiga AstraZeneca mendapati vaksin itu mempunyai tahap keberkesanan sekitar 62 peratus untuk menangani COVID-19.