NEW DELHI: Kes harian COVID-19 di India terus melonjak lebih 400,000 kes, yang tertinggi direkodkan sejak negara itu berdepan dengan gelombang kedua pandemik itu.

Reuters melaporkan, angka korban pula mencatatkan 3,523 kes dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian meningkat kepada 211,853 orang setakat Sabtu.

Jumlah keseluruhan kes COVID-19 kini melebihi 19 juta dengan 7.7 juta kes dilaporkan sejak Februari lalu ketika gelombang kedua.

Berbanding sebelum ini, India mengambil masa kira-kira enam bulan untuk mencapai angka 7.7 juta kes.

Peningkatan mendadak itu menyebabkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengenakan sekatan perjalanan baharu ke atas negara itu semalam.

BACA: Saintis dakwa kerajaan India abai amaran awal varian baharu COVID-19

BACA: Ibu meninggal dunia selepas tangki oksigen dirampas polis India untuk diberi kepada 'VIP'

BACA: Ahli keluarga pesakit di India merayu untuk bekalan oksigen

Beberapa negara lain termasuk Malaysia, Singapura, Britain, Jerman, Itali, Kanada, Hong Kong dan New Zealand juga mengenakan sekatan yang sama, dengan menangguh semua perjalanan komersial ke India.

Lebih memburukkan keadaan apabila negara itu dilaporkan mempunyai bekalan vaksin yang terhad, menyaksikan kebanjiran pesakit di hospital.

Ratusan rakyat juga dilihat beratur untuk mendapatkan suntikan vaksin di Ahmedabad, Gujarat, kota kelahiran Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Namun demikian, Ketua Menteri Delhi mengeluarkan arahan supaya orang ramai tidak terus berkerumun di pusat-pusat vaksinasi sebaliknya menjanjikan bekalan vaksin akan tiba sama ada esok atau lusa.

Sekumpulan para ahli sains turut menyalahkan kerajaan persekutuan kerana gagal membendung penyebaran virus itu.

Menurut mereka, jutaan orang masih dibenarkan menghadiri upacara keagamaan dan menyertai demonstasi politik ketika pilihan raya umum negara itu, baru-baru ini. 

Awal bulan Mac lalu, forum penasihat ilmiah yang ditubuhkan di bawah pentadbiran Modi mengeluarkan amaran mengenai penularan varian baharu COVID-19, namun dilihat tidak diendahkan.