SINGAPURA: Sejak gelombang baharu jangkitan COVID-19 dikesan pada 23 Ogos, Singapura telah mencatatkan lebih 8,000 kes COVID-19.

Namun, pesakit "tidak mengalami kesan teruk" dengan lebih 98 peratus tidak mempunyai gejala atau bergejala ringan kerana kebanyakan mereka sudah disuntik vaksin COVID-19.

Hanya 10 daripada lebih 8,000 kes yang memerlukan rawatan unit rawatan rapi (ICU) sementara tiga meninggal dunia, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada sidang media maya pada Jumaat.

"Tiada keraguan bahawa jika populasi kita tidak tampil dan divaksinasi dalam jumlah besar, kita akan menyaksikan lebih banyak kematian sekarang, dan sistem penjagaan kesihatan kita mungkin tidak mampu menampungnya.

"Tetapi kita telah dapat menghindarinya kerana liputan vaksinasi kita sangat tinggi," kata Ong.

Pada 15 September, sejumlah 82 peratus penduduk Singapura lengkap dua dos vaksin COVID-19, dan 84 peratus lagi sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Pada Jumaat, hari ke-26 gelombang semasa, beliau berkata republik ini menjangkakan kes harian meningkat dua kali ganda setiap minggu "dari 100 hingga 200, menjadi 400, 400 hingga 800 dan sekarang dalam kitaran empat kali ganda."

"Jadi, saya fikir kita perlu bersiap sedia yang kita kemungkinan akan melepasi angka 1,000 tidak lama lagi, dan itu di luar jangkaan.

"Ini adalah sifat tipikal gelombang jangkitan, yang biasanya berlangsung antara empat hingga lapan minggu atau 30, 40, kadang-kadang 50 hari," katanya.

Ong berkata, Singapura kini berada di landasan peralihan ke kehidupan kebiasaan baharu bersama COVID-19.

"Ia sudah tentu satu perjalanan penuh liku.

"Setiap negara yang memilih hidup bersama COVID-19 sama ada cepat atau lambat akan melalui gelombang peralihan besar yang kita hadapi sekarang dengan kenaikan eksponen dalam kes harian," katanya.

Menurut Ong, dalam pelan peralihan yang memiliki empat tahap Singapura berharap gelombang jangkitan ini akan berlaku kemudian, tetapi ia telah muncul lebih awal "terutama kerana Delta (varian) sangat mudah merebak."

"Kita akan mampu mengharunginya hanya selepas memberikan vaksin lengkap kepada kira-kira 80 peratus populasi kita," katanya.

Jumlah keseluruhan kes di republik ini setakat ini sebanyak 74,848 dengan 5,538 kes aktif.

-- BERNAMA