KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas lebih 200 kilogram (kg) dadah disyaki ganja bernilai RM709,450 dalam satu operasi rondaan di sekitar Jeram Perdah, Pasir Mas semalam.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata rampasan itu dilakukan pada 8.30 malam menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan selepas anggota menahan sebuah kereta di Kampung Kubang Puyu Meranti, Pasir Mas.
Advertisement
Beliau berkata sepasukan anggota yang menjalankan rondaan bermotosikal di Kampung Siram Pohon Tanjung mengesan sebuah kereta Proton Saga BLM berwarna putih dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba menahan kenderaan itu.
“Suspek bagaimanapun bertindak memecut laju menyebabkan anggota mengejar kira-kira 10 kilometer sebelum kenderaan itu berjaya dipintas.
“Suspek kemudian memberhentikan kenderaan di tepi jalan sebelum cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan kira-kira 10 meter dari lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan beberapa kotak berwarna coklat yang mengandungi ketulan mampat daun kering serta bahan tumbuhan dipercayai ganja.
Beliau berkata jumlah keseluruhan rampasan melibatkan 209.5 kg ketulan mampat daun kering dan 500 gram bahan disyaki ganja.
“Turut dirampas sebuah kereta Proton Saga BLM yang dianggarkan bernilai RM20,000 manakala suspek telah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau berkata suspek dan barang kes dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA