Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengerahkan sepasukan 10 orang saintis ke Wuhan, China bulan depan.

Kumpulan ini ditugaskan menyiasat dakwaan virus COVID-19 berasal dari bandar itu.

Misi tersebut diteruskan selepas mendapat lampu hijau dari China.

Menurut Pengarah Program Kecemasan WHO Dr Michael Ryan, pasukan itu akan melalui proses kuarantin yang sepatutnya.

"Kami masih tiada tarikh spesifik bagi misi ini, kerana masih dalam proses menyelesaikan isu logistik. Tetapi, kami jangkakan pasukan ini memulakan tugas pada minggu pertama Januari.

"Kami juga akan menguruskan isu kuarantin. Kami akan mematuhi apa jua pengurusan risiko di China. Pasukan ini akan melawat Wuhan, bagi misi ini," kata Ryan.

Beijing sebelum ini enggan bersetuju dengan desakan supaya inkuiri bebas dijalankan.

Rundingan bagi membolehkan pasukan WHO diberi akses ke Wuhan juga berlangsung selama beberapa bulan.

Virus COVID-19 didakwa berasal dari sebuah pasar menjual haiwan.

Pakar WHO menegaskan agensi itu bukan bertujuan mencari pihak untuk dipersalahkan.

Namun, misi tertumpu kepada usaha pencegahan di masa depan.

Misi tersebut dijangka mengambil masa empat hingga lima minggu.

Pada awal penularan COVID-19, virus itu dikesan dari pasar basah di Wuhan, dan ia dipercayai hasil transmisi haiwan ke manusia.