KUALA LUMPUR: Saintis di Universiti Miami melaporkan dua kes pertama yang disahkan di mana virus COVID-19 melintasi plasenta ibu dan menyebabkan kerosakan otak pada bayi yang mereka kandung.

Doktor sebelum ini mengesyaki perkara itu mungkin berlaku tetapi sehingga kini tiada bukti langsung COVID-19 dalam plasenta ibu atau otak bayi.

Menurut kajian diterbitkan dalam jurnal Pediatrics, bayi-bayi itu dilahirkan oleh ibu muda yang diuji positif virus berkenaan semasa trimester kedua mereka pada kemuncak gelombang varian Delta pada tahun 2020 iaitu sebelum vaksin tersedia.

Beberapa virus diketahui mampu melintasi plasenta dan menyebabkan kerosakan otak janin termasuk Cytomegalovirus, Rubella, HIV dan Zika.

Virus SARS-CoV-2 telah dikesan dalam tisu otak dewasa dan beberapa pakar telah mengesyaki ia juga boleh merosakkan tisu otak janin.

Pengerusi Obstetrik dan ginekologi di Universiti Miami, Dr Michael Paidas berkata, ini adalah kali pertama ia dapat menunjukkan virus dalam organ janin dengan saluran transplasenta.

Bayi yang baru lahir mengalami sawan dari hari pertama kehidupan dan mengalami kelewatan perkembangan yang teruk.

Salah seorang daripada bayi itu meninggal dunia pada usia 13 bulan manakala seorang lagi dalam penjagaan hospis.

Sementara itu, Pakar Neonatologi dan penolong Profesor Pediatrik di Universiti Miami, Dr Merline Benny berkata, kedua-dua bayi itu tidak diuji positif untuk virus COVID-19 tetapi mereka mempunyai tahap antibodi COVID-19 yang tinggi dalam darah mereka.

Beliau berkata, itu menunjukkan virus itu merentas daripada ibu melalui plasenta dan kepada bayi.

Pasukan itu turut menemui bukti virus dalam plasenta kedua-dua ibu dan bedah siasat otak bayi yang meninggal dunia mendedahkan virus COVID-19 dalam otak sekaligus menunjukkan jangkitan langsung menyebabkan kecederaan.

Bagi ibu-ibu pula, walaupun kedua-duanya didapati positif virus itu seorang daripada mereka hanya mengalami simptom ringan dan membawa bayi cukup bulan manakala seorang lagi sakit sehingga doktor terpaksa melahirkan bayi pada usia kandungan 32 minggu.

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan di Universiti Miami, Dr Shahnaz Duara pula percaya kes itu jarang berlaku tetapi menggesa wanita yang telah dijangkiti semasa mengandung untuk memaklumkan kepada pakar pediatrik bagi memeriksa kelewatan perkembangan.

Pasukan itu juga menggesa wanita yang mempertimbangkan kehamilan untuk mendapatkan vaksin terhadap COVID-19 dan wanita hamil harus mempertimbangkan vaksinasi.

Masih belum jelas sama ada kecederaan yang disebabkan semasa kehamilan adalah unik kepada varian Delta atau boleh berlaku dengan varian berkaitan Omicron.