JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor melanjutkan tempoh penyerahan Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Keempat sehingga 28 Jun depan bagi memberi lebih ruang dan masa kepada penerima untuk mendapatkan bantuan tersebut.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata langkah itu merupakan antara penambahbaikan segera bagi memastikan proses penyerahan lebih teratur, mudah dan selesa khususnya bagi kategori dengan jumlah penerima besar seperti warga emas dan suri rumah.
"Antara penambahbaikan lain ialah menambah jumlah kaunter mengikut nisbah penerima di setiap lokasi, termasuk penyediaan kaunter aduan dan pertanyaan bagi melancarkan urusan semakan serta bayaran.
"Sekurang-kurangnya sebanyak 35 kaunter semakan dan 35 kaunter bayaran disediakan bagi lokasi lebih 3,000 penerima, sementara lokasi dengan 2,000 penerima ke bawah pula melibatkan 10 kaunter semakan dan 10 kaunter bayaran," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan BKJ Fasa Keempat, di sini.
Onn Hafiz berkata tempoh operasi turut dilanjutkan sehingga 12 jam khususnya di daerah Johor Bahru, bagi mengurangkan kesesakan dan memberi keselesaan kepada penerima terutama warga emas.
Selain itu, ruang menunggu juga akan disediakan di lokasi yang mempunyai jumlah penerima tinggi untuk keselesaan sebelum proses semakan dibuat dan penerima hanya perlu membawa kad pengenalan untuk tujuan semakan sebelum bayaran dibuat.
Dalam pada itu, beliau berkata wakil waris terdekat dibenarkan mengambil bantuan bagi pihak penerima yang tidak berupaya hadir, manakala kerajaan negeri akan turun ke rumah penerima yang layak sekiranya tiada waris.
Beliau berkata Southern Volunteers turut digerakkan bagi membantu warga emas atau Orang Kurang Upaya (OKU) yang hadir sepanjang proses penyerahan bantuan.
Katanya, permohonan rayuan akan dibuka bermula 1 Julai bagi memberi peluang kepada individu yang layak namun belum tersenarai untuk membuat semakan dan permohonan semula.
Beliau berkata pihaknya mengambil maklum setiap pandangan dan maklum balas yang diterima sekali gus melaksanakan langkah segera bagi memperkemas proses penyerahan bantuan.
Sehubungan dengan itu, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri akan terus memperbaiki dan menambah baik proses pelaksanaan dari semasa ke semasa bagi memastikan manfaat BKJ dapat disampaikan kepada penerima dengan lebih lancar.
--BERNAMA