PARIS:Pihak berkuasa kesihatan Perancis pada Isnin melaporkan sekitar 43,000 jangkitan baharu COVID-19 pada hujung minggu.

Pengarah Agensi Kesihatan Awam Wilayah Paris, Aurelien Rousseau, memaklumkan pesakit COVID-19 kini memenuhi lebih daripada 42 peratus katil di unit rawatan rapi (ICU) hospital di ibu kota dan pinggir bandarnya.

Bercakap menerusi televisyen Perancis, BFM TV, beliau memaklumkan kadar ujian positif mencapai 17 peratus di rantau berkenaan sambil menyifatkan pihaknya sedang bergelut  dengan masa.

Pihak berkuasa Perancis meletakkan wilayah Paris dalam keadaan berjaga-jaga dengan langkah-langkah baharu yang ketat untuk menghentikan penyebaran jangkitan.

Ia termasuk melarang perjumpaan dan perhimpunan serta meminta semua bar ditutup namun membenarkan restoran dibuka dengan syarat yang ketat.

Perancis merupakan salah satu negara di Eropah yang paling teruk dilanda COVID-19 dengan sekurang-kurangnya 32,730 kematian akibat wabak berkenaan.