HUNGARY akan mengurangkan sebahagian besar sekatan bagi mengurangkan penularan COVID-19 sejurus selepas angka vaksinasi di negara itu mencapai 5 juta hujung minggu ini.

Perdana Menteri Viktor Orban berkata pada Jumaat, susulan itu, orang ramai tidak perlu lagi memakai pelitup muka di tempat awam dan perintah berkurung waktu malam dibatalkan.

Pada masa sama, aktiviti perhimpunan akan dibenarkan sehingga 500 orang di kawasan terbuka, sementara acara di kawasan tertutup dibenarkan untuk individu yang mempunyai kad vaksinasi.

Orban berkata, negara itu telah berjaya menewaskan pandemik gelombang ketiga.

Hungary adalah satu-satunya negara Kesatuan Eropah (EU) yang telah meluluskan dan menggunakan vaksin Rusia dan China dalam jumlah yang banyak sebelum Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) memeriksa atau meluluskannya.

Ini memungkinkan negara itu mencapai salah satu kadar inokulasi tertinggi di EU dengan 50 peratus daripada penduduknya yang seramai 10 juta orang telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos suntikan.

Sebilangan besar aspek industri perkhidmatan Hungary sudah beroperasi, termasuk hotel, restoran, spa, teater, pawagam, gimnasium dan tempat sukan.

Ekonomi negara itu menyusut 5 peratus tahun lalu.


 
Orban yang berdepan pilihan raya pada 2022 mengatakan, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini mungkin lebih tinggi daripada unjuran semasa kerajaan iaitu 4.3%.

Beliau mengulangi bahawa kerajaan telah memutuskan untuk memanjangkan moratorium pembayaran pinjaman COVID-19 hingga akhir bulan Ogos bagi membolehkan bank dan kerajaan meneruskan perbincangan dan menyusun rancangan mengenai masa depan moratorium tersebut.

Peminjam berpendapatan rendah perlu lebih banyak sokongan, katanya, tanpa menjelaskan secara terperinci.