VARIAN koronavirus baharu yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan pada Mei, setakat ini tidak tersebar.

Perkara itu disahkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang turut menjelaskan, langkah pemantauan sedang diambil untuk melihat perkembangan virus COVID-19 yang bermutasi itu.

Jurucakap WHO Margaret Harris berkata pada Selasa, varian yang dilabel C.1.2 itu tidak diklasifikasi sebagai varian membimbangkan atau 'variant of concern'.

"Ia kelihatannya tidak meningkat dari segi peredaran," kata beliau pada satu taklimat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva.

Saintis di Afrika Selatan kini sedang memantau varian terbaru COVID-19 dengan kadar mutasi yang luar biasa tinggi itu dan kekerapannya beransur-ansur meningkat dalam tempoh beberapa bulan terakhir.

Varian itu ditandai pada minggu lalu oleh 'KwaZulu-Natal Research and Innovation and Sequencing Platform' dalam kajian pra-cetak yang belum dikaji semula.

Walaupun sebilangan besar kes COVID-19 di Afrika Selatan pada waktu ini disebabkan oleh varian Delta, yang pertama kali dikesan di India, varian baharu C.1.2 menarik perhatian saintis kerana mutasinya hampir dua kali lebih pantas daripada yang diperhatikan dalam varian global yang lain.

Saintis Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NICD) Afrika Selatan memaklumkan pada Isnin, varian C.1.2 hanya 'hadir pada tahap yang sangat rendah' dan terlalu awal untuk meramalkan bagaimana ia mungkin berkembang.

Setakat ini, varian C.1.2 sudah dikesan di sembilan wilayah di Afrika Selatan serta di bahagian lain dunia, termasuk China, Mauritius, New Zealand dan Britain.

Afrika Selatan adalah antara negara paling teruk dilanda pandemik itu dengan lebih 2.7 juta kes COVID-19 dilaporkan setakat ini, iaitu sekurang-kurangnya 81,830 orang meninggal dunia.