NANJING: Varian COVID-19 paling merbahaya, Delta yang dikesan di Nanjing, China, kini telah merebak ke Beijing dan lima wilayah lain, dengan media negara itu mendakwa ia jangkitan paling cepat merebak selepas yang berlaku di Wuhan.

Hampir 200 orang dijangkiti sejak ia dikesan di lapangan terbang di bandar itu pada 20 Julai.

Pegawai kesihatan tempatan di Nanjing memaklumkan tujuh daripada mereka yang dijangkiti berada dalam keadaan kritikal.

Semua penerbangan dari lapangan terbang Nanjing akan ditangguhkan sehingga 11 Ogos, menurut media tempatan.

Pihak berkuasa juga sudah memulakan ujian saringan di seluruh bandar berkenaan. 

Semua 9.3 juta penduduk, termasuk pelawat dan pelancong, akan disaring, kata agensi berita Xinhua.

Hantaran di media sosial menunjukkan orang ramai beratur untuk saringan dan pihak berkuasa meminta orang ramai memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dan mengelakkan bercakap semasa mereka menunggu.

Ding Jie, seorang pegawai kesihatan di Nanjing, memberitahu wartawan bahawa kebanyakan kes berkaitan dengan kumpulan petugas pembersihan yang bekerja dalam penerbangan dari Russia, yang tiba di bandar itu pada 10 Julai.

Mereka dikatakan tidak mengikuti langkah pembersihan diri yang ketat, lapor Xinhua News.

Badan disiplin Parti Komunis membidas pengurusan lapangan terbang dengan mengatakan mereka mempunyai masalah seperti kekurangan pengawasan dan anggota pengurusan yang tidak profesional.

Namun, laporan Global Times mengatakan pakar percaya wabak itu masih pada tahap awal dan dapat dikendalikan.