HANOI: Pihak berkuasa Vietnam mengesan varian baharu virus COVID-19 yang merupakan gabungan varian India dan UK serta tersebar melalui udara dengan pantas.

Menteri Kesihatan Vietnam, Nguyen Thanh Long menggambarkan varian baharu itu sebagai kacukan daripada dua varian yang diketahui sebelum ini.

Jelasnya, varian baharu itu merupakan varian India dengan mutasi yang asalnya daripada varian UK serta lebih berbahaya.

Selepas berjaya membendung virus tersebut hampir sepanjang tahun lalu, Vietnam menghadapi peningkatan jangkitan sejak akhir April.

Separuh daripada kes jangkitan keseluruhan sebanyak 6,856 dikesan pada tahun ini dengan jumlah keseluruhan kematian mencecah 47 kes.

Negara Asia Tenggara sebelum ini telah mengesan tujuh varian COVID-19 antaranya B.1222, B.1.619, D614G, B.1.1.7, B.1.351, A.23.1 dan B.1.617.2.

Long berkata, Vietnam akan segera menerbitkan data penjujukan genom varian baharu dikenal pasti itu yang menurutnya lebih muda tersebar daripada jenis yang diketahui sebelum ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengenal pasti empat varian SARS-CoV-2 yang menjadi kebimbangan global.

Ini termasuk varian yang muncul pertama kali di India, Britain, Afrika Selatan dan Brazil.

Ketua Teknikal WHO untuk COVID-19, Dr. Maria Van Kerkove berkata, setakat ini pihaknya masih belum membuat penilaian mengenai varian virus yang dilaporkan di Vietnam.

"Pejabat kami bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan di Vietnam dan kami mengharapkan lebih banyak maklumat tidak lama lagi," katanya.

Dari pemahaman WHO ketika ini, varian yang dikesan di Vietnam adalah varian B.1.617.2 atau lebih dikenali sebagai varian India dengan kemungkinan mempunyai mutasi tambahan.

Long menyatakan varian baharu menunjukkan virus itu mereplikasi dirinya dengan sangat pantas, mungkin menjelaskan mengapa begitu banyak kes baru muncul di pelbagai tempat di negara itu dalam jangka waktu yang singkat.

Susulan penemuan itu kerajaan Vietnam sedang berusaha untuk mendapatkan 10 juta dos vaksin di bawah skim pembaharuan kos COVAX, serta 20 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech  dan 40 juta Sputnik V dari Rusia.

Negara dengan sekitar 98 juta penduduk setakat ini telah menerima 2.9 juta dos dan mensasarkan untuk mendapatkan 150 juta tahun ini.