HAVANA: Kerajaan Cuba mengesahkan Ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS), John Ratcliffe, telah melawat Havana dan mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan negara itu, ketika krisis tenaga di pulau tersebut semakin meruncing.
Menurut kenyataan rasmi, pertemuan itu bertujuan memperbaiki dialog antara kedua-dua negara, dengan pihak Cuba menegaskan bahawa negara itu tidak menimbulkan ancaman kepada keselamatan nasional AS.
Lawatan tersebut berlaku ketika Cuba berdepan krisis bahan api paling serius dalam beberapa dekad, susulan sekatan minyak yang dikenakan oleh Washington sejak awal tahun ini.
Menteri Tenaga Cuba memaklumkan negara itu kini kehabisan sepenuhnya diesel dan minyak bahan api, menyebabkan gangguan besar kepada bekalan elektrik.
Kekurangan bahan api turut menjejaskan perkhidmatan asas, termasuk hospital dan sekolah, selain menyebabkan gangguan bekalan elektrik berpanjangan sehingga mendorong protes di beberapa kawasan di Havana.
Dalam perkembangan berkaitan, AS menawarkan bantuan kemanusiaan bernilai AS$100 juta (kira-kira RM393 juta), namun dengan syarat ia diagihkan melalui pertubuhan bebas termasuk Gereja Katolik, tanpa penglibatan kerajaan Cuba.
Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel, bagaimanapun menegaskan situasi negara itu boleh diperbaiki dengan lebih cepat sekiranya sekatan ekonomi dan tenaga yang dikenakan AS dilonggarkan atau ditarik balik.
Walaupun kedua-dua pihak dilaporkan menunjukkan minat untuk meningkatkan kerjasama dalam aspek keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang, hubungan dua hala kekal tegang, dengan krisis tenaga terus memberi tekanan besar kepada rakyat Cuba.