Skip to main content

Dunia

Lapan maut, 25 cedera kereta api rempuh bas di Bangkok

Emergency services work at a site where a train collided with a bus and several cars on Asok-Din Daeng Road, causing several casualties, in Bangkok, Thailand, May 16, 2026. [Athit Perawongmetha/Reuters]
Nahas berhampiran stesen Airport Rail Link di tengah bandar raya itu mencetuskan kebakaran apabila api marak memusnahkan bas serta beberapa kenderaan lain di kawasan berkenaan. -Foto Reuters

BANGKOK: Sekurang-kurangnya lapan orang maut manakala 25 lagi cedera selepas sebuah kereta api kargo merempuh sebuah bas awam dalam nahas yang mencetuskan kebakaran besar di pusat bandar Bangkok, petang Sabtu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 petang waktu tempatan (4.40 petang waktu Malaysia) berhampiran stesen Airport Rail Link.

Menurut laporan Al Jazeera, kemalangan dipercayai tercetus apabila bas terbabit tersangkut di persimpangan landasan sejurus selepas palang keselamatan diturunkan.

Kereta api kargo yang sedang bergerak dari wilayah Chachoengsao menuju ke Bang Sue kemudiannya merempuh bas berkenaan sebelum mengheret beberapa kenderaan lain di sekitarnya.

Impak pelanggaran menyebabkan bas serta beberapa kenderaan berhampiran terbakar, dengan api marak dan asap tebal kelihatan dari kawasan stesen berdekatan.

Pasukan bomba dan penyelamat dikerahkan ke lokasi bagi memadamkan kebakaran serta mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan yang remuk.

Kebakaran berjaya dikawal, manakala kesemua mangsa cedera dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan.

Kawasan persimpangan itu dilaporkan sibuk dengan aliran trafik dan kehadiran orang awam ketika kejadian berlaku.

Pihak berkuasa Thailand kini menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan jumlah rasmi kematian serta punca sebenar insiden berkenaan.

Must Watch Video