PARIS: Sejumlah lapan individu ditahan selepas cucu saudara isteri Presiden Perancis, Brigitte Macron diserang pada Isnin.

Kejadian berlaku susulan ucapan Emmanuel Macron yang disiarkan di satu stesen televisyen.

Jean-Baptiste Trogneux, 30, diserang oleh kumpulan antikerajaan di luar kedai coklat keluarganya di Amiens, yang terletak di utara negara itu.

Menurut polis, dia mengalami kecederaan di bahagian kepala, tangan dan kaki.

Presiden Macron menyifatkan serangan tersebut "tidak boleh diterima" dan "keganasan tiada tempat dalam sistem demokrasi sesebuah negara".

Populariti Macron menjunam hampir ke paras terendah selepas majoriti rakyat Perancis menyuarakan kekecewaan mereka terhadap kepimpinannya berhubung isu pembaharuan umur persaraan.

Kerajaan Perancis bersetuju untuk menaikkan umur persaraan daripada 62 kepada 64 tahun hujung tahun ini.

Beberapa siri demonstrasi menyaksikan puluhan restoran kegemaran Presiden itu di Paris dibakar selain serangan di pejabat ahli politik di seluruh negara.