Pihak berkuasa Filipina mengeluarkan waran tangkap terhadap enam daripada 23 individu, yang dikenal pasti oleh pihak berkuasa Malaysia, terlibat dengan kes penculikan di perairan luar pantai timur Sabah.

Kedutaan Filipina dalam kenyataan hari ini berkata mereka dikenali sebagai Apo Mike @ Majan Sahidjuan, Hatib Hayan @ Sawadjaan, Alden Bagde @ Sayning, Muamar Askali @ Abu Rami, Idang Susukan dan Alhabsy Misaya.

Mereka dan 15 individu lain sedang diburu pihak penguatkuasaan undang-undang dan tentera Filipina di pedalaman wilayah Sulu dan Basilan," kata kedutaan itu.

Sebelum ini, pihak berkuasa Filipina melumpuhkan kegiatan Geng Muktadil Bersaudara berikutan kematian Mindas Muktadil pada Mei 2015, serta Nikson dan Brown Muktadil pada September 2016.

Menurut kenyataan itu, Khadafy, seorang daripada individu yang dinamakan pihak berkuasa Malaysia, telah ditangkap pada November 2015 dan ditahan di Penjara Wilayah Zamboanga Del Norte.

Menurut kenyataan itu, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom)baru-baru ini mengumumkan nama 23 individu yang diburu kerana terlibat dalam kes culik di kawasan pesisir dan perairan timur Sabah.

Individu yang masih bebas dan sedang diburu pihak berkuasa Filipina ialah Salvador @ Badong Muktadil, Salip Sosong @ Mohamad Apsa Abdulla, Halipa, Ibrahim, Sabri Madrasul @ Salip Jul, Las Pangit, Marajan Asiri, Raden Abuh, Bocoi, Sangbas, Berong Sairol @ Boy Master, Bensaudi Sairol @ Boy Pangit, Boy Intel, Atai Susukan, Durog Hussein dan Saidul Idul.

Semasa lawatan Presiden Rodrigo Duterte ke Malaysia pada 9 dan 10 Nov lepas, pemimpin Filipina itu dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju meningkatkan kerjasama bagi mengekang kejadian penculikan di Laut Sulu-Sulawesi.

Pihak berkuasa Filipina menyambut baik sebarang maklumat daripada rakan sejawatan mereka di Malaysia yang boleh membawa kepada penangkapan individu yang dikehendaki itu," kata kedutaan itu. -- Bernama