Kumpulan militan negara Islam, IS pada Jumaat mendakwa bertanggungjawab membunuh seorang pekerja sukarelawan British, Alan Henning, dalam satu paparan video.

Video terbabit yang hampir sama dengan tiga lagi pembunuhan yang didakwa dilakukan kumpulan terbabit sebelum ini, turut memaparkan ancaman untuk membunuh warga Amerika Syarikat, Peter Kassig.

Kedua-dua mereka adalah pekerja sukarelawan bagi membantu orang awam di Syria sebelum ditahan dan Henning, 47, adalah pemandu kepada sebuah kumpulan sukarelawan Islam.

Kassig yang kelihatan masih hidup dalam petikan video 11 saat itu adalah seorang bekas anggota tentera Amerika Syarikat yang kembali ke Iraq untuk menubuhkan sebuah pertubuhan bantuan sukarela.

Perdana Menteri Britain, David Cameron dalam reaksinya berkata video terbabit kelihatan asli dan mengutuk pembunuhan warga negaranya itu.

Cameron juga bertekad untuk memburu mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Video terbabit muncul di laman SITE, laman web yang sering memantau dan memaparkan kegiatan yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas.

Henning
Kumpulan militan negara Islam, IS mendakwa bertanggungjawab membunuh seorang pekerja sukarelawan British, Alan Hennin (gambar) - Foto AFP

Video dimulakan dengan laporan tindakan parlimen Britain meluluskan serangan ke atas kumpulan IS di Iraq.

Ia kemudiannya memaparkan Henning yang sedang berlutut dengan latar belakang gurun sambil anggota kumpulan terbabit dilihat sedang memegang sebilah pisau.

Ini disusuli dengan Henning dilihat berkata dia menerima akibatnya sebagai balasan kepada undi rakyat Britain di parlimen.

“Darah David Haines di tangan anda Cameron. Alan Henning juga akan disembelih, tetapi darahnya adalah di tangan parlimen Britain,” kata anggota kumpulan itu lagi sebelum kelihatan seakan menyembelih leher tawanannya itu.

Video terbabit bagaimanapun masih tidak dapat disahkan keasliannya.