WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) mendakwa Selat Hormuz kekal terbuka kepada pelayaran komersial meskipun konflik dengan Iran masih berlarutan dan laluan perkapalan strategik itu terus menjadi tumpuan perebutan pengaruh kedua-dua pihak.
Jurucakap Komando Pusat AS (CENTCOM), Kapten Tentera Laut Tim Hawkins, berkata trafik perkapalan melalui selat berkenaan terus berjalan lancar dan menolak dakwaan bahawa Iran menguasai laluan strategik tersebut.
Menurut beliau, sejak awal Mei, AS telah membantu pergerakan kapal yang membawa lebih 900 juta tong minyak mentah melalui Selat Hormuz ke pasaran tenaga global.
Katanya, pasukan AS kini melaksanakan dua misi serentak, iaitu memastikan laluan perdagangan antarabangsa kekal beroperasi dan menguatkuasakan sekatan yang disifatkannya sebagai berkesan.
"Kami telah mengalihkan lebih 100 kapal yang cuba melanggar sekatan," katanya.
Hawkins turut memaklumkan bahawa operasi membersihkan periuk api di laluan perkapalan utama yang diiktiraf antarabangsa di Selat Hormuz telah selesai beberapa minggu lalu.
"Kami kekal berjaga-jaga dan terus memantau bagi memastikan laluan itu kekal selamat.
"Selat itu terbuka dan kapal-kapal komersial terus menggunakannya," katanya.
Kenyataan itu dibuat ketika AS dan Iran terus mengemukakan dakwaan bersaing mengenai pihak yang mempunyai pengaruh lebih besar ke atas Selat Hormuz, yang menjadi laluan penting kepada perdagangan minyak dunia.
Dalam perkembangan sama, Hawkins mempertahankan operasi ketenteraan AS di rantau itu selepas timbul dakwaan mengenai korban awam dan kerosakan infrastruktur.
Beliau menegaskan tentera AS mematuhi undang-undang konflik bersenjata dan hanya menyasarkan kemudahan ketenteraan, termasuk lokasi yang dikaitkan dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran.
"Kami tidak pernah menyasarkan orang awam dalam operasi kami," katanya.
Awal bulan ini, bandar Kuhestak di selatan Iran dilaporkan menjadi sasaran beberapa serangan AS, dengan sumber tempatan mendakwa sebuah majlis perkahwinan turut terkena serangan sehingga mengorbankan beberapa individu dan mencederakan puluhan yang lain.
Mengenai kerosakan yang dialami kemudahan ketenteraan AS akibat serangan Iran, Hawkins berkata ia tidak menjejaskan keupayaan operasi pasukan AS.
Beliau mendakwa AS telah melemahkan keupayaan peluru berpandu Iran secara ketara dan hampir melumpuhkan kekuatan angkatan laut negara itu.