Calon dalam Pemilihan Presiden Indonesia, Joko Widodo, mendakwa dirinya kini berdepan dengan empat isu yang berbaur fitnah, menjelang 40 hari sebelum rakyat republik itu membuang undi.

Beliau yang biasa disapa sebagai Jokowi memberitahu, isu fitnah itu telah disebarkan secara luar biasa dalam kalangan masyarakat, lapor portal berita Kompas.com.

Empat isu tersebut melibatkan kes ulama yang dikaitkan dengan salah laku jenayah, larangan azan, perkawinan sejenis, dan penghapusan pendidikan agama.

"Kalau ada orang yang tidak bersalah, kemudian dimasukkan ke dalam penjara, beritahu saja pada saya untuk saya uruskan.

“Tapi jika (individu) itu bersalah, ya harus dihukum kerana negara kita ada undang-undang,” ujar Jokowi di hadapan penyokongnya dalam sebuah acara di Pusat Konvensyen Sukan Palembang pada Sabtu.

Jokowi juga kembali menegaskan bahawa dirinya tidak pernah mengeluarkan arahan sup[aya laungan azan dilarang.

Jelas beliau, isu yang digembar-gembur itu tidak masuk akal kerana sudah jelas bahawa Indonesia adalah negara dengan majoriti penduduknya beragama Islam.

"Mana mungkin? Mana mungkin ada Presiden yang berani (melarang azan)," ujarnya.

Tidak ketinggalan, Jokowi dipalit dengan dakwaan yang menyatakan bahwa dirinya akan membenarkan perkawinan sejenis jika terpilih sekali lagi sebagai Presiden Indonesia.

Beliau amat terkejut dengan dakwaan tersebut memandangkan Indonesia amat menjunjung tinggi norma agama, kesantuan serta tatasusila.

Hal menyebarkan berita palsu dan fitnah dalam dunia politik memang tidak dapat dielakkan.

Oleh itu, Jokowi menyeru supaya para penyokongnya sama-sama berusaha untuk menangkis serangan tersebut.

Difahamkan, empat isu yang disebarkan secara leluasa itu menjejaskan persepsi kepercayaan dan kelayakannya untuk mempertahankan jawatan nombor satu negara tersebut, merosot sebanyak 8 peratus di Jawa Barat.