Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Malaysia kecam penutupan Masjid Al-Aqsa sepanjang Ramadan

Malaysia mengecam dengan sekeras-kerasnya tindakan berterusan rejim Zionis Israel menutup pintu Masjid Al-Aqsa/Al-Haram Al-Sharif kepada para jemaah umat Islam, khususnya semasa bulan suci Ramadan.
Malaysia pada Khamis mengecam keras tindakan rejim Israel yang terus menutup pintu Masjid Al-Aqsa / Al-Haram Al-Sharif kepada jemaah Muslim sepanjang bulan suci Ramadan. - Reuters

PUTRAJAYA: Malaysia pada Khamis mengecam keras tindakan rejim Israel yang terus menutup pintu Masjid Al-Aqsa / Al-Haram Al-Sharif kepada jemaah Muslim sepanjang bulan suci Ramadan.

Dalam satu kenyataan, Wisma Putra berkata, tindakan itu disifatkan sebagai diskriminasi, provokatif dan pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa. 

Tambah Kementerian lagi, Malaysia menegaskan bahawa langkah Israel yang menyekat akses umat Islam ke Kota Lama Baitulmaqdis dan kawasan suci adalah arbitrari dan tidak berasas, sekali gus menjejaskan kebebasan beragama dan meningkatkan ketegangan di wilayah Palestin yang diduduki. 

Advertisement

“Israel tidak mempunyai sebarang kedaulatan ke atas Baitulmaqdis Timur yang secara sah diiktiraf sebagai wilayah yang diduduki, serta tidak berhak menentukan urusan di mana-mana tapak suci Islam dan Kristian di kawasan berkenaan. 

“Seluruh kawasan 144 ‘dunam’ Masjid Al-Aqsa/Al-Haram Al-Sharif merupakan kawasan ibadah eksklusif umat Islam, dan pentadbiran sahnya kekal di bawah Waqaf Jerusalem serta Jabatan Hal Ehwal Masjid Al-Aqsa, yang bernaung di bawah Kementerian Awqaf Jordan,” katanya lagi.

Wisma Putra menegaskan, entiti tersebut merupakan satu-satunya autoriti yang sah mengurus akses dan hal ehwal tapak suci berkenaan.

Dalam pada itu Kementerian berkata, sekatan Israel itu dilihat sebagai satu lagi bentuk provokasi yang hanya memburukkan keadaan di Palestin serta menambah beban kepada rakyat Palestin yang sudahpun berdepan sekatan ketenteraan, penindasan dan ancaman keselamatan berterusan. 

“Malaysia menyifatkan tindakan menyekat akses kepada tempat ibadat ketika bulan Ramadan sebagai tidak berperikemanusiaan, serta bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia dan norma masyarakat antarabangsa,” katanya lagi.

Must Watch Video