AS dan Ukraine capai persetujuan mengenai 'perkara paling penting' dalam pelan damai - Kyiv

Orang ramai berlindung di sebuah stesen kereta api metro susulan serangan peluru berpandu dan dron Rusia, di Kyiv, Ukraine, 25 Nov 2025. REUTERS
GENEVA: Washington dan Kyiv mencapai persetujuan mengenai perkara-perkara paling penting dalam pelan yang dikemukakan Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan perang di Ukraine, menurut seorang pegawai kanan Ukraine pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Delegasi kami mencapai persefahaman bersama mengenai terma utama perjanjian yang dibincangkan di Geneva," kata Rustem Umerov, bekas Menteri Pertahanan yang kini mengetuai Majlis Keselamatan dan Pertahanan Nasional Ukraine serta merupakan anggota pasukan rundingan negara itu.
"Kami kini berharap kepada sokongan rakan-rakan Eropah dalam langkah seterusnya," tulisnya di Facebook.
"Kami berharap dapat mengatur lawatan Presiden Ukraine (Volodymyr Zelensky) ke AS pada tarikh paling sesuai pada November bagi menyempurnakan langkah akhir dan mencapai perjanjian dengan Presiden (Donald) Trump," katanya lagi.
Menurut laporan media AS, pegawai kanan Kerajaan Amerika ketika ini berada di Abu Dhabi bagi membincangkan pelan berkenaan dengan delegasi Rusia.
Setiausaha Tentera AS Daniel Driscoll dilaporkan mengadakan perbincangan dengan wakil kerajaan Rusia sejak Isnin, menurut laporan CBS, CNN dan akhbar Wall Street Journal.
Minggu lepas, AS membentangkan pelan 28 perkara untuk menamatkan perang di Ukraine, yang bermula dengan pencerobohan tentera Rusia pada 24 Feb 2022.
Pelan itu pada peringkat awal dilihat mengandungi kebanyakan syarat Kremlin untuk menghentikan perang, namun ia telah dirunding semula secara intensif oleh diplomat Eropah dan Ukraine.
Presiden Rusia Vladimir Putin sebelum ini menggambarkan versi asal pelan 28 perkara itu sebagai "asas bagi penyelesaian damai muktamad", tetapi memberi amaran agar tidak melakukan pelonggaran besar dalam perjanjian yang memihak kepada Kyiv.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


