Darurat diisytihar di Tennant Creek, Australia susulan ancaman kebakaran

Pihak berkuasa mengisytiharkan situasi darurat di sebuah bandar pedalaman di Australia ketika kebakaran hutan terus meningkat. - Gambar hiasan
CANBERRA: Pihak berkuasa mengisytiharkan situasi darurat di sebuah bandar pedalaman di Australia ketika kebakaran hutan terus meningkat.
Nicole Manison, pemangku Ketua Menteri Wilayah Utara (NT), Menteri Perkhidmatan Kecemasan Kate Worden dan pemimpin perkhidmatan kecemasan mengumumkan dalam sidang media pada petang Selasa bahawa pengisytiharan darurat telah dikeluarkan di bandar Tennant Creek, lebih 900 kilometer ( km) di selatan Darwin, lapor Xinhua.
Pengisytiharan itu memberikan kuasa tambahan kepada pihak polis dan perkhidmatan kecemasan untuk merampas aset dan mengarahkan pemindahan jika kebakaran yang berlanjutan lebih seminggu itu merentasi bandar terbabit.
Setakat Selasa, kebakaran telah memusnahkan lebih 10,000 km persegi kawasan di Wilayah Barkly NT, timur Tennant Creek di tengah Australia.
Joshua Fischer, pemangku Ketua Pegawai Bomba (CFO) NT, berkata bahawa pihak berkuasa yakin mereka boleh menghalang kebakaran daripada merentasi Sungai Gosse dan sampai ke Tennant Creek.
"Ia kira-kira 30 km dari Tennant Creek pada masa ini," katanya.
Walaupun pengisytiharan darurat dilaksanakan, Manison menggesa penduduk Tennant Creek untuk bertenang.
--BERNAMA-XINHUA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

