DUNIA
Datuk Bandar Athens 'sindir' duta Israel isu pembunuhan di Gaza

Haris Doukas (gambar) menempelak Duta Israel, susulan dakwaan bahawa pihak berkuasa bandar Athens gagal menangani isu grafiti anti-Yahudi.
ATHENS : "Kami tidak perlukan pelajaran mengenai demokrasi daripada mereka yang membunuh orang awam," kata Datuk Bandar Athens, Haris Doukas kepada Duta Israel, susulan dakwaan bahawa pihak berkuasa bandar gagal menangani isu grafiti anti-Yahudi di ibu negara itu, lapor Anadolu Ajansi.
"Sebagai pihak berkuasa perbandaran, kami menunjukkan pendirian tegas menentang keganasan dan perkauman," katanya sambil menegaskan bahawa Athens, sebagai ibu negara sebuah negara demokratik, menghormati pengunjung dan menyokong kebebasan bersuara rakyat.
"Kami tidak menerima ceramah demokrasi daripada mereka yang membunuh orang awam dan kanak-kanak yang beratur untuk mendapatkan makanan, daripada mereka yang setiap hari membunuh orang awam di Gaza menggunakan bom, kelaparan dan kehausan.
"Amat mengejutkan apabila Duta (Noam Katz) hanya menumpukan kepada grafiti yang jelas sedang dipadamkan, sedangkan pada masa sama, genosid yang belum pernah terjadi sebelum ini sedang berlaku di Gaza," kata Doukas.Dalam wawancara bersama akhbar harian Kathimerini, Katz menyatakan bahawa grafiti bersifat anti-Yahudi di Athens membuatkan pengunjung Israel berasa tidak selesa dan menuduh pihak berkuasa perbandaran tidak mengambil tindakan sewajarnya.
Tentera Israel terus melancarkan serangan ganas ke atas Gaza sejak 7 Okt 2023 dan enggan mengendahkan gesaan gencatan senjata oleh masyarakat antarabangsa. Sehingga kini, lebih 60,800 rakyat Palestin telah terbunuh, majoritinya wanita dan kanak-kanak.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga sedang berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangan terhadap wilayah terkepung itu.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami