Dalam usaha untuk membanteras bahan buangan marin di rantau ini, negara-negara anggota ASEAN pada Selasa bersetuju mengemukakan Deklarasi Bangkok untuk pertimbangan dan kelulusan pemimpin-pemimpin ASEAN di Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di sini pada Jun depan.

Ini diumumkan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Jeneral Surasak Kanchanarat selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Peringkat Menteri ASEAN mengenai Bahan Buangan Marin di sini.

Beliau berkata, oleh kerana lima daripada 10 negara di dunia yang paling banyak melepaskan bahan buangan plastik ke laut adalah dari rantau ini, negara-negara anggota melahirkan keprihatinan berat mereka terhadap ancamannya kepada alam sekitar, kesihatan kepelbagaian hayat, masyarakat dan ekonomi.

"Oleh itu, menteri-menteri tersebut menyambut baik dan bersetuju mengemukakan Deklarasi Bangkok itu untuk pertimbangan dan kelulusan oleh pemimpin-pemimpin ASEAN tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan laporan oleh Thailand Marine and Coastal Resources, pada 2010 lima daripada 10 negara di dunia yang paling banyak melepaskan bahan plastik buangan ke laut ialah dari ASEAN.

Lima negara mengeluarkan buangan marin paling banyak berdasarkan purata tahunan ialah Indonesia sebanyak 1.29 juta tan metrik, Filipina (0.75 juta tan metrik), Vietnam (0.73 juta tan metrik), Thailand (0.41 juta tan metrik) dan Malaysia (0.37 tan metrik).

China ialah punca terbesar bahan buangan marin, mengeluarkan 3.53 juta tan metrik.

Sementara itu, Jabatan Sumber Asli dan Alam Sekitar Thailand dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena sidang pada Selasa, berkata negara-negara anggota ASEAN telah berusaha mewujudkan dasar membanteras bahan buangan marin.

Mereka juga menegaskan perlunya mempertingkat usaha itu, termasuk di peringkat serantau menerusi mekanisme diteraju ASEAN, termasuk Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).

Mesyuarat itu adalah inisiatif Thailand, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini untuk menyediakan platform bagi mengkaji tindakan konkrit dalam membanteras bahan buangan marin dan memperkukuh kerjasama.

-- BERNAMA