Demonstrasi di Portland semakin ganas, tidak terkawal

Agensi
Julai 26, 2020 11:31 MYT
Meskipun pihak berkuasa dikerahkan ke sana namun tidak sedikit pun meredakan kemarahan sebahagian rakyat AS. - Gambar REUTERS
Ribuan orang berkumpul di Portland, Amerika Syarikat pada malam Sabtu ketika demonstrasi berkaitan pembunuhan George Floyd masih terus bersemarak di negara berkenaan.
Meskipun pihak berkuasa dikerahkan ke sana namun ia tidak sedikit pun meredakan kemarahan sebahagian rakyat AS dengan insiden tersebut.
Dalam protes tersebut, kelihatan bunga api dilempar ke arah mahkamah persekutuan dan pihak berkuasa dilihat menyembur gas pemedih mata dalam usaha untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
Saban malam demonstrasi berlaku di bandar terbesar di Oregon itu sejak dua bulan lalu selepas Floyd terbunuh di Minneapolis pada Mei lepas.
Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump berkata beliau menghantar ejen persekutuan ke kawasan itu bagi membantu meredakan keadaan.
Namun, sebaliknya yang berlaku apabila pihak berkuasa tempatan mengatakan tindakan itu hanya memburukkan lagi keadaan di sana.
Floyd, 46, maut ketika dalam tahanan polis di Minneapolis.
Video anggota terlibat melutut di lehernya, tular sehingga mencetuskan kemarahan umum.
Bantahan terhadap insiden yang menimpa Floyd mencetuskan protes besar-besaran di beberapa bandar utama AS dan turut merebak ke beberapa negara termasuk di Eropah.
Hakim Mahkamah Minneapolis menetapkan tarikh perbicaraan empat anggota polis yang didakwa membunuh Floyd, pada tahun depan. Empat anggota polis itu ialah Derek Chauvin, Thomas Lane, J-Kueng dan Tou Thao.
#Amerika Syarikat #AS #Derek Chauvin #Donald Trump #gas pemedih mata #George Floyd #mahkamah #Mahkamah Persekutuan #maut #Penunjuk perasaan #polis #presiden #protes #rakyat #video