DUNIA
Demonstrasi pekerja seluruh Indonesia tuntut kebajikan lebih baik

Ia merupakan bantahan kedua di Dewan Perwakilan Rakyat minggu ini, selepas protes yang mengecam gaji dan elaun tinggi Ahli Parlimen. - Reuters
JAKARTA: Ribuan pekerja mengadakan demonstrasi di seluruh Indonesia pada Khamis, termasuk di Jakarta dan bandar utama lain, bagi menuntut kebajikan lebih baik, penamatan sistem kontrak khidmat luar serta pemberhentian besar-besaran, selain pembaharuan dasar buruh, di tengah-tengah kawalan keselamatan ketat dilaksanakan di kompleks Parlimen di ibu negara.
Ia merupakan bantahan kedua di Dewan Perwakilan Rakyat minggu ini, selepas ratusan pekerja berarak pada Isnin untuk mengecam gaji dan elaun tinggi Ahli Parlimen ketika rakyat berdepan kesempitan ekonomi.
Protes pada Khamis dianjurkan oleh Parti Buruh bersama kesatuan besar sekerja, termasuk Konfederasi Kesatuan Sekerja Indonesia (KSPI) yang diketuai Said Iqbal.
"Pekerja berhimpun di ibu kota, dengan demonstrasi serupa di Batam, Surabaya, Medan dan pusat perindustrian lain, menuntut penamatan kontrak khidmat luar dan pemberhentian besar-besaran, selain pembaharuan cukai buruh serta kenaikan ambang pendapatan tidak bercukai," katanya dalam satu kenyataan.Pekerja juga mendesak Parlimen meluluskan rang undang-undang buruh yang berasingan daripada "Undang-undang Omnibus" 2020, iaitu pembaharuan yang menghimpunkan puluhan peraturan bagi menarik pelaburan dan pekerjaan tetapi dikritik kerana melemahkan hak pekerja.
Kesatuan turut menggesa Parlimen meluluskan rang undang-undang penyitaan aset yang tertangguh lama bagi membanteras rasuah serta meminda peraturan pilihan raya menjelang Pilihan Raya Umum 2029.
Demonstrasi diadakan di 38 wilayah di seluruh negara.
Sementara itu, polis Jakarta menempatkan lebih 4,531 anggota termasuk polis rusuhan dan unit tentera untuk mengawal keselamatan kompleks parlimen.
Laluan trafik turut disediakan sekiranya penunjuk perasaan menghalang jalan utama, kata jurucakap polis Pesuruhjaya Ade Ary Syam Indradi, sambil menggesa penunjuk perasaan supaya kekal aman dan tidak menggunakan lebuh raya bertol.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami