Denda lebih RM11,000 jika masuk Mekah secara haram mulai hari ini

Arab Saudi akan mengenakan denda kepada mana-mana individu yang memasuki negara itu secara haram berkuat kuasa mulai 19 Julai (Ahad) hingga 2 Ogos ini.

Arab Saudi akan mengenakan denda kepada mana-mana individu yang memasuki negara itu secara haram. | Astro Awani
ARAB SAUDI akan mengenakan denda kepada mana-mana individu yang memasuki negara itu secara haram berkuat kuasa mulai 19 Julai (Ahad) hingga 2 Ogos ini.

Langkah tegas itu diambil menjelang pelaksanaan ibadah haji tahun ini, dengan kapasiti jemaah yang terhad susulan pandemik COVID-19.

Menurut Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, kerajaan tersebut akan mengenakan denda sebanyak 10,000 riyal Saudi (kira-kira RM11,360).

“Sesiapa yang melanggar arahan memasuki kota suci (Mina, Arafat, dan Muzdalifah) tanpa izin akan dihukum mulai esok (hari ini) sehingga hari ke-12 Zulhijjah dengan denda 10,000 riyal.

“Sekiranya ia (kesalahan) dilakukan berulang, hukuman akan digandakan,” kata Perbandaran Mekah dalam kemaskini di laman Twitter.

Arab Saudi mengumumkan membenarkan pelaksanaan ibadah haji, namun hanya kepada individu yang berada dan tinggal di negara itu sahaja.

Pihak berkuasa negara itu mengesahkan telah mengehadkan jumlah jemaah haji pada tahun ini kepada 10,000 jemaah atas aspek keselamatan berikutan wabak COVID-19.

Jurucakap rasmi Keselamatan Umum Mekah, Brigadir Jeneral Sami al-Shuwairekh berkata hukuman tersebut akan berkuat kuasa secara rasmi mulai tengah malam Ahad (waktu tempatan).

Beliau juga memberi jaminan bahawa pihak berkuasa akan memastikan penyediaan protokol dan garis panduan bagi memastikan perjalanan ibadah haji dilakukan dengan selamat.