LIMOGES: Sebuah dewan bandar bersejarah di bandar Limoges, Perancis, mengalami kerosakan teruk akibat kebakaran yang dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat selepas demonstrasi di seluruh negara pada Sabtu.
Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan bangunan abad ke-19 itu dijilat api, manakala menara jamnya runtuh ketika kebakaran marak.
Pasukan bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran sepanjang malam sebelum menjalankan pemeriksaan terhadap struktur bangunan pada Ahad bagi menilai tahap kerosakan.
Setakat ini, pihak berkuasa belum mengesahkan sama ada bangunan itu berisiko runtuh.
Kejadian tersebut mengejutkan penduduk setempat yang menyifatkan serangan terhadap bangunan bersejarah itu sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.
“Merosakkan bangunan warisan kerana marah kepada kerajaan adalah satu tindakan mementingkan diri sendiri,” kata seorang penduduk kepada BBC.
Pihak berkuasa sedang menyiasat punca sebenar kebakaran, manakala usaha menilai tahap kerosakan dan keselamatan struktur bangunan masih diteruskan.