Dewan Perwakilan Filipina menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi meneliti rang-rang undang-undang tubuh Bangsamoro yang akan dikemukakan oleh kerajaan kepada Kongres, lapor portal berita Rappler.

Jawatankuasa itu dibentuk oleh Speaker Feliciano Belmonte Jr dan ketua majoriti dewan, Neptali Gonzales II pada Isnin.

Jawatankuasa khas itu disertai oleh jawatankuasa kerajaan tempatan, hal ehwal Mindanao, keselamatan dan pertahanan serta keamanan, penyatuan dan perpaduan.

Undang-undang tubuh itu adalah asas perundangan kepada perjanjian damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang ditandatangani pada Mac lepas untuk menamatkan konflik senjata sejak 1970-an di wilayah selatan Filipina.

Dokumen rang undang-undang itu akan diserahkan oleh Presiden Benigno Aquino III kepada Presiden Dewan Senat, Franklin Drilon dan Speaker Feliciano Belmonte Jr dalam satu majlis di Istana MalacaƱang esok (Rabu, 10 September). Majlis itu dijadual dihadiri oleh panel perunding kerajaan dan MILF.

Perjanjian damai itu memberi kuasa dan hak yang lebih luas dalam hal ehwal politik dan fiskal kepada entiti politik baru yang akan menggantikan Wilayah Autonomi Muslim Mindanao (ARMM).

Entiti yang dikenali sebagai Bangsamoro itu akan dipilih oleh rakyat. Wakil rakyat yang terpilih itu pula akan memilih seorang di kalangan mereka untuk jadi ketua menteri.

Rang undang-undang itu dijangka diluluskan oleh Kongres sebelum Mac 2015. Ia kemudian akan dirujuk kepada rakyat di selatan Filipina dalam satu pungutan suara.

ARMM kemudian secara automatik akan mansuh digantikan oleh Pihak Berkuasa Peralihan Bangsamoro yang akan mentadbir sehingga pilihan raya Bangsamoro diadakan pada 2016.

Perjanjian damai yang ditandatangani pada 27 Mac lalu antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Manila telah disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Filipina, Benigno Aquino III di Manila.

Perjanjian bersejarah itu bertujuan mewujudkan entiti politik pemerintahan sendiri dikenali sebagai Bangsamoro yang akan mempunyai kuasa politik dan ekonomi yang lebih besar.

Malaysia adalah pemudahcara kepada rundingan damai itu dan telah mengetuai pasukan Pemantauan Antarabangsa bagi memastikan kejayaan pelaksanaan perjanjian itu.