Dhaka tegang menjelang keputusan kes bekas PM Hasina

Beberapa bom buatan sendiri meletup di ibu negara Bangladesh, Dhaka, pada Ahad, menurut polis, sekali gus meningkatkan ketegangan menjelang keputusan mahkamah pada Isnin terhadap bekas Perdana Menteri yang digulingkan, Sheikh Hasina. - Gambar fail
DHAKA: Beberapa bom buatan sendiri meletup di ibu negara Bangladesh, Dhaka, pada Ahad (16 Nov), menurut polis, sekali gus meningkatkan ketegangan menjelang keputusan mahkamah pada Isnin terhadap bekas Perdana Menteri yang digulingkan, Sheikh Hasina, berhubung insiden keganasan ketika protes jalanan tahun lalu.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun letupan itu menambah kebimbangan di kota yang sudah bergolak selepas beberapa hari dilanda ketidakstabilan politik.
Hasina, 78, sedang dibicarakan tanpa kehadiran di mahkamah atas tuduhan melakukan jenayah terhadap kemanusiaan kerana didakwa mengarahkan tindakan keras terhadap protes pelajar pada pertengahan 2024.
Beliau menafikan tuduhan itu dan kekal berada di India sejak melarikan diri selepas digulingkan pada Ogos tahun lalu.
Menurut laporan media tempatan, Pesuruhjaya Polis Metropolitan Dhaka mengarahkan anggota keselamatan melepaskan tembakan terhadap sesiapa yang terlibat dalam perbuatan khianat seperti membakar harta benda atau melontar bom buatan sendiri.
Langkah keselamatan turut diperketat di Dhaka, di Gopalganj - kampung halaman Hasina dan kubu kuat partinya serta dua daerah bersebelahan, dengan anggota Pengawal Sempadan Bangladesh dikerahkan bagi membantu pihak berkuasa tempatan.
Polis dan pasukan elit Rapid Action Battalion ditempatkan di sekitar bangunan kerajaan dan persimpangan utama, menjadikan sebahagian kawasan ibu kota lengang.
“Keadaan sangat tegang - hampir tiada siapa keluar,” kata Ramjan Ali, pemandu kenderaan roda tiga di Dhaka.
“Saya berada di jalan sejak pagi, tetapi hampir tiada pendapatan hari ini.”
Menjelang keputusan mahkamah, pihak berkuasa merekodkan lebih 30 letupan bom buatan sendiri dan puluhan bas dibakar di Dhaka serta beberapa daerah lain.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, puluhan aktivis Liga Awami turut ditahan atas dakwaan terlibat dalam letupan dan sabotaj. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


