MEKAH: Berdekad lamanya di Masjidil Haram, suara muazin yang tenang dan jelas melaungkan azan, dan imam mengimamkan solat lima waktu sehari.

Dr Mansour Al-Dajani, seorang penyelidik sejarah Mekah memberitahu Arab News baru-baru ini bahawa azan pertama, pada tengah hari di Masjidil Haram disampaikan dari bumbung Kaabah oleh sahabat Nabi Muhammad SAW, Bilal bin Rabah.

Ia adalah atas perintah nabi pada hari penaklukan Mekah pada tahun 630 (8 A.H.).

“Masjidil Haram pada masa itu adalah sebesar Mataf (kawasan tawaf di sekitar Kaabah Mekah) dan tidak mempunyai tembok di sekelilingnya, mahupun menara.

"Menara muncul buat pertama kali pada tahun 754 (137 H) semasa pemerintahan Khalifah Abbasiyah Abu Jafar Al-Mansour, yang membina menara pertama, dikenali sebagai Bab Al-Umrah, di sudut barat dari sebelah utara Masjidil Haram," kata beliau.

Menara itu adalah sebuah menara tinggi yang dipasang bersebelahan dengan masjid.

Ia adalah sebahagian daripada masjid dan direka bentuk supaya azan dapat didengari dengan kuat dan jelas di seluruh bandar.

“Menara ini dan yang dibina selepasnya digunakan untuk melaungkan azan di Masjidil Haram. Ketua muazin akan memulakan azan dari menara Bab Al-Umrah, kemudian semua muazin akan mengikutinya di menara yang lain.

"Selepas itu, menara Bab Al-Salam menjadi platform ketua muazin untuk azan, dan pada abad ke-16 (abad ke-10 A.H.), ketua muazin menggunakan kubah Zamzam untuk menyampaikan azan,” jelasnya lagi.

Pembesar suara di Masjidil Haram diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1947 semasa pemerintahan Raja Abdulaziz.

Ahli sejarah dan penulis, Prof. Ahmed Ali Asad Allah Al-Kazemi menyatakan dalam memoirnya, The Daily Events in Makkah, bahawa pada tahun 1947, Sheikh Abd Al-Zahir Abu Al-Samh, imam dan pendakwah Masjidil Haram meminta Menteri Kewangan, Abdullah bin Suleiman Al-Hamdan untuk menyediakan pembesar suara dan mikrofon.

Pada tahun itu, pembesar suara di Masjidil Haram digunakan untuk khutbah Jumaat dan Aidilfitri, yang jatuh pada hari sama.

Khutbah itu biasanya disampaikan oleh anak Syeikh Abu Al-Samh, Abdul Rahman, dengan hanya beberapa jemaah di masjid yang dapat mendengar.

Namun, pada hari Jumaat 31 Oktober 1947, Syeikh Abu Al-Samh menyampaikan khutbah Jumaat dengan mikrofon yang didengari oleh ribuan jemaah di Masjidil Haram.

Pada tahun 1957, lokasi pembesar suara telah ditukar apabila perluasan pertama Mataf di Masjidil Haram berlaku.

Pada tahun 1963, pembesar suara ditempatkan di sebuah bangunan persendirian yang berasingan, dipanggil Almukbariya, di mana azan dilakukan, dan di mana muazin melaungkan atau mengulangi doa imam.

Baru-baru ini, perubahan lanjut dibuat di bangunan Almukbariya oleh Agensi Kajian Projek dan Kejuruteraan di Kepresidenan Umum untuk Hal Ehwal Dua Masjid Suci, untuk memastikan kecekapan operasi untuk Ramadan 2023.

Almukbariya dalam bentuk baharunya mengambil kira perubahan seni bina Masjidil Haram dari segi warna dan gaya.

Ia membolehkan kejelasan bunyi yang lebih besar, untuk menguatkan suara muazin. Terdapat juga bilik dan studio kawalan bunyi dan televisyen, pejabat menunggu khas untuk muazin dan bilik untuk perkhidmatan awam. Mataf dan Kaabah boleh dilihat dari bahagian selatan Almukbariya.

Almukbariya memainkan peranan penting, dalam penyelarasan dengan Pihak Berkuasa Radio dan Televisyen, dalam siaran langsung semua ritual dan acara keagamaan yang diadakan di Masjidil Haram sepanjang tahun, terutamanya semasa Ramadan dan musim haji.