British Airways pada Rabu memohon maaf kepada seorang pembaca berita televisyen di ABP News Network (ABP Sanjha), Harsharan Kaur selepas beliau mendakwa menerima layanan diskriminasi ketika menaiki pesawat untuk satu penerbangan jarak jauh.

"British Airways amat kesal dengan pengalaman Harsharan ketika menaiki pesawat dari Vancouver pada 27 September, 2017 dan sangat kecewa kerana tidak menikmati perkhidmatan yang diharapkan ketika dalam penerbangan bersama kami."

"Pihak kami mengucapkan terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk membawa perkara itu ke pihak kami, dan juga kami akan memberi tumpuan untuk membuat penambahbaikan," jelas British Airways melalui kenyataan yang dikeluarkan badan advokasi United Sikhs.

Pihak British Airways membuat kenyataan mohon maaf atas layanan diskriminasi terhadap seorang pembaca berita wanita beragama Sikh, Harsharan Kaur ketika menaiki pesawat menuju ke London, menurut kenyataan media daripada United Sikhs.

Menurut badan mediasi dari London Centre for Effective Dispute Resolution (CEDR), Harsharan tidak menerima perkhidmatan layanan seperti penumpang yang lain sewaktu dalam penerbangan selama 10 jam dari Vancouver ke London, tahun lepas.

Harsharan, seorang penganut Sikh didakwa membuat aduan bertulis ke pejabat British Airways sejurus selepas beliau tiba di Vancouver.

Harsharan menghubungi badan advokasi United Sikhs untuk melaporkan kejadian yang dialami dan kemudiannya pergi ke CEDR untuk mengendalikan kes terbabit setelah gagal menerima permohonan maaf daripada pihak British Airways.

"Saya menghubungi CEDR kerana saya tidak ingin mana-mana orang lain mengalami perkara yang sama," jelas Harsharan melalui kenyataan badan berkenaan.

Dalam responsnya, peguam bela hak asasi manusia badan berkenaan Tanveen Kaur berkata, pihaknya kesal kerana syarikat penerbangan United Kingdom itu mengeluarkan kenyataan maaf itu selepas lebih lima bulan kes itu terjadi.

"Pihak British Airways mengeluarkan kenyataan maaf hanya selepas Harsharan melawat pihak CEDR.

"Kami memohon mereka yang mengalami perkara yang sama untuk bersuara bagi melawan sebarang bentuk diskriminasi," jelasnya.

Harsharan yang merupakan pembaca berita wanita pertama memakai turban di India dalam tuntutannya berkata beliau tidak menerima layanan yang sepatutnya ketika penerbangan apabila semua penumpang lain diberikan hidangan makanan oleh kru kapal berkenaan.

Dalam kejadian yang menimpa dirinya, Harsharan mendakwa dia tidak mendapat sebarang hidangan dan kemudiannya hanya mendapat hidangan bukan pilihannya setelah berkali-kali membuat permintaan kepada kru pesawat berkenaan.