DUNIA
Dmitriev anggap Alaska 'pentas sempurna' sidang kemuncak bersejarah Rusia-AS

Kremlin dan White House sebelum ini memaklumkan bahawa Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden AS Donald Trump akan bertemu di Alaska pada 15 Ogos. - AP
MOSCOW: Ketua Dana Pelaburan Langsung Rusia (RDIF) dan utusan khas presiden Rusia bagi kerjasama ekonomi dengan negara asing, Kirill Dmitriev, menyifatkan Alaska sebagai "pentas sempurna" untuk sidang kemuncak bersejarah antara pemimpin Rusia dan Amerika Syarikat (AS).
Kremlin dan White House sebelum ini memaklumkan bahawa Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden AS Donald Trump akan bertemu di Alaska pada 15 Ogos.
Pihak berkuasa Alaska memberitahu RIA Novosti bahawa mereka tidak mengetahui lokasi tepat pertemuan itu.
"Sidang kemuncak bersejarah [Rusia-AS] di Alaska pada 15 Ogos. Pentas sempurna: AS dan Rusia hanya dipisahkan sejauh 2.4 batu antara Kepulauan Diomede, yang dibahagi oleh Garisan Tarikh Antarabangsa (satu adalah 'Semalam', satu lagi 'Esok'). Mari kita beralih dari semalam ke esok dengan aman," tulis Dmitriev di X.Dmitriev turut menggesa supaya kerjasama Rusia-AS dibangunkan dalam bidang perlindungan alam sekitar, infrastruktur dan tenaga di Artik dan seterusnya.
Trump dalam hantaran di Truth Social pada Jumaat berkata beliau akan bertemu Putin pada 15 Ogos di Alaska. Pembantu Kremlin, Yury Ushakov, kemudian mengesahkan maklumat itu.
"Presiden Trump mengumumkan sidang kemuncak [AS-Rusia] dengan Presiden Putin di Alaska. Pernah dikenali sebagai Rusia Amerika - dengan warisan agama Ortodoks, kubu pertahanan dan perdagangan bulu - Alaska mengimbau ikatan tersebut dan menjadikan AS sebuah negara Artik. Mari kita [Rusia dan AS] bekerjasama dalam alam sekitar, infrastruktur dan tenaga di Artik dan seterusnya," tulis Dmitriev di X.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami