Skip to main content

Politik

Muhyiddin kesal tohmahan Annuar Musa terhadap Bersatu

Caption KUALA LUMPUR, 16 Jun -- Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Ibu Pejabat Bersatu hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Muhyiddin menegaskan Bersatu tidak berpisah secara sukarela daripada PN dan menolak dakwaan parti itu menghalang penyatuan Melayu. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan parti itu tidak berpisah atau ‘mufarakah’ secara sukarela daripada Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata demikian ketika membidas kenyataan pemimpin Pas, Tan Sri Annuar Musa yang didakwa menuduh Bersatu bertindak mendahului keputusan PN serta menghalang usaha penyatuan Melayu.

“Saya kesal dengan tohmahan Annuar terhadap Bersatu. Bersatu tidak mufarakah (berpisah) secara sukarela dari Perikatan Nasional.

“Bersatu yang mengasaskan Perikatan Nasional dan Bersatu masih parti anggota Perikatan Nasional yang sah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin mendakwa hak Bersatu sebagai parti anggota dan pengasas PN telah dinafikan apabila rundingan kerusi pilihan raya bersama parti itu tidak diteruskan.

Beliau turut mendakwa Bersatu tidak dijemput menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN yang memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti anggota gabungan berkenaan.

“Jadi, mengapa Bersatu dituduh bertindak mendahului keputusan mesyuarat jika mesyuarat pun tidak dijemput?” soalnya.

Mengulas rundingan antara PN dan Barisan Nasional (BN), Muhyiddin berkata, beliau tidak mempersoalkan rundingan berkenaan selepas Pengerusi PN mengakui telah memberikan kebenaran untuk ia dilaksanakan.

Namun, menurutnya, rundingan yang melibatkan perkara dasar sepatutnya dibawa terlebih dahulu kepada Majlis Tertinggi PN.

Beliau mendakwa rundingan itu dibuat tanpa penglibatan semua parti anggota dan tanpa mandat Majlis Tertinggi, manakala keputusan berhubung kerjasama hanya dibawa kepada badan berkenaan selepas dimuktamadkan.

“Setelah keputusan mengenai kerjasama dibuat, barulah dibawa ke Majlis Tertinggi. Ini cara yang songsang.

“Sepanjang saya memimpin Perikatan Nasional selama lima tahun, saya tidak pernah mengenepikan mana-mana parti anggota dalam proses membuat keputusan Perikatan Nasional, termasuk hal-hal dasar parti dan pembahagian kerusi pilihan raya,” katanya.

Muhyiddin turut menyifatkan tuduhan Annuar bahawa Bersatu menghalang penyatuan Melayu sebagai tidak bertanggungjawab.

Beliau menegaskan perjuangannya untuk penyatuan Melayu tidak pernah padam sejak menubuhkan Bersatu sebagai sebuah parti pribumi Melayu.

Katanya, pada peringkat awal penubuhan PN, beliau pernah menggagaskan gabungan itu sebagai parti induk yang menghimpunkan parti-parti Melayu termasuk UMNO, selain parti pelbagai kaum lain.

Bagaimanapun, beliau berkata, UMNO ketika itu menolak untuk menyertai PN dan tidak mahu menjadi sebahagian daripada Kerajaan PN, meskipun Ahli-Ahli Parlimennya menyokong kerajaan berkenaan.

Muhyiddin mendakwa hasrat PN pimpinan PAS untuk mewujudkan kerjasama dengan UMNO, ketika parti itu masih mempunyai hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP, bukanlah penyatuan Melayu yang sebenar.

“PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu dan parti Melayu yang saya pimpin ini diketepikan oleh Perikatan Nasional.

“Ini bukanlah penyatuan Melayu yang sebenar. Ini hanyalah penjajaran semula kuasa politik,” katanya.

Pada masa sama, Muhyiddin mengucapkan selamat maju jaya kepada PN dan menegaskan Bersatu akan meneruskan perjuangannya tanpa menoleh ke belakang.

“Bersatu tidak akan menoleh ke belakang lagi. Parti ini akan terus berdiri dan mara ke hadapan menjulang panji-panji perjuangannya demi Malaysia dan seluruh rakyatnya,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement