HARARE: Buat julung kalinya, DNA seekor singa berjaya digunakan untuk mensabitkan dua pemburu haram di Zimbabwe, menandakan kemajuan besar dalam usaha membanteras jenayah hidupan liar.
Kes itu bermula pada Mei 2024 apabila kolar radio seekor singa jantan di Taman Negara Hwange berhenti berfungsi.
Advertisement
Siasatan membawa pihak berkuasa kepada jerat dengan bulu singa, sebelum polis menemui tiga guni daging, 16 kuku dan empat gigi di sebuah kampung berdekatan.
Semua bahagian tubuh itu kemudian dipadankan dengan profil DNA dalam pangkalan data singa Zimbabwe, menjadikan ini kali pertama identiti seekor singa dikenal pasti melalui analisis forensik.
Dua lelaki akhirnya mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman 24 bulan penjara.
Victoria Falls Wildlife Trust berkata teknologi DNA ini mengubah landskap pendakwaan, kerana sebelum ini pemilikan bahagian tubuh singa mudah didalihkan sebagai pusaka atau diperoleh secara sah.
NGO antarabangsa Traffic menyifatkan kejayaan itu sebagai “bukti kukuh” bahawa sains forensik kini mampu menggugat rangkaian pemburuan haram, ketika permintaan terhadap bahagian tubuh singa meningkat di Afrika dan Asia.