DUNIA
Doa, bantuan dan Upin Ipin: Simbol keakraban Malaysia-Indonesia - Penganalisis

ASEAN bukan sekadar dokumen, malah wujud dengan semangat solidariti yang tidak direka-reka. - Reuters.
KUALA LUMPUR: Inisiatif bantuan pesanan makanan untuk pengemudi penghantar dalam talian atau ojek online (ojol) di Indonesia daripada rakyat negara-negara jiran membuktikan semangat ASEAN yang sebenar.
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Indonesia (UIII), Profesor Farish Noor juga berpendapat tindakan ini menunjukkan ASEAN bukan sekadar dokumen, malah wujud dengan semangat solidariti yang tidak direka-reka.
Beliau berkata demikian sebagai respons simpati dan sokongan yang ditunjukkan oleh negara-negara di Asia Tenggara susulan krisis politik yang berlaku di Indonesia sejak 28 Ogos lalu.
“Dalam episod kegelapan ini ada juga titik-titik yang cerah.. begitu ramai warga Malaysia kirim mesej solidariti, empati dan simpati untuk teman-teman di Indonesia.“Ada yang kirim wang, makanan dan bukan hanya dari Malaysia tapi ada yang dari Singapura, Thailand, Filipina dan lain-lain lagi.
“Negara jiran kita menghadapi masalah kita juga akan merasa masalah itu jadi kita harus saling membantu di sini wujudnya ASEAN, ASEAN itu bukan sekadar kertas dan dokumen.
“Tetapi ia satu idea yang saya rasa kali ini kita lihat bahawa semangat ASEAN solidariti antara masyarakat Indonesia dan Malaysia itu sesuatu yang nyata,” katanya semasa wawancara di segmen Agenda AWANI pada Rabu.
Penganalisis politik itu juga berpendapat di sebalik kemelut politik yang sedang melanda Negara Garuda itu, Malaysia menunjukkan berperanan saudara yang erat bukan sekadar jiran.
Malah Farish Noor turut mengambil contoh hantaran pesanan simpati dari kru produksi animasi Malaysia iaitu Upin dan Ipin yang terkenal di Indonesia pada Selasa memberi semangat positif kepada rakyat Indonesia.
“Apabila masyarakat Malaysia mengirim doa dan, niat yang baik ini diterima dengan baik dan senang hati oleh masyarakat Indonesia.
“Bukan hanya individu, malah siri popular Upin dan Ipin yang sangat terkenal di Indonesia.. apabila kru produksi mengirim doa agar Indonesia sembuh kembali. Saya rasa ini sangat positif,” ujarnya lagi.
Beliau juga optimis rakyat Indonesia akan membantu Malaysia seandainya berlaku sebarang cabaran sama ada dalam bentuk krisis atau bencana.
“Saya yakin seperti yang disebut kadangkala kita macam adik beradik bertengkar tetapi apabila berlakunya krisis minta simpang ya, kalaulah Malaysia dilanda bencana saya yakin bahawa masyarakat Indonesia juga akan berdiri bersama kita,” katanya.
Demonstrasi memuncak pada 28 Ogos apabila seorang pengemudi dalam talian, Affan Kurniawan, 21, maut dilanggar kenderaan taktikal Korps Brigade Mobile atau (Brimob).
Peserta demonstrasi mengemukakan enam tuntutan kepada kerajaan iaitu menghapuskan sistem kontrak (outsourcing) supaya pekerja diberi kerja tetap yang lebih menjamin masa depan; hentikan pemberhentian kerja besar-besaran oleh pasukan khas kerajaan, reformasi cukai pekerja yang lebih adil.
Selain itu, mereka menuntut Rang Undang-Undang (RUU) Pekerjaan yang berdiri sendiri tanpa gabungan undang-undang lain termasuk Omnibus Law; meluluskan RUU Rampasan Aset bagi kesalahan jenayah termasuk rasuah; serta menyemak semula RUU Pilihan Raya 2029.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami