KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turun padang ke Pasar Taman Melawati esok bagi meninjau punca hanya sebahagian kecil peniaga menikmati manfaat skim pembiayaan mikro kerajaan.
Menurut Anwar laporan Khazanah Research Institute pada April mendapati kadar penggunaan kemudahan pembiayaan mikro dalam kalangan peniaga kecil masih rendah meskipun berbilion ringgit telah diperuntukkan kerajaan.
Jelasnya, kerajaan telah menyediakan pelbagai peluang pembiayaan mikro melalui beberapa agensi, namun manfaatnya masih belum sampai kepada majoriti peniaga kecil.
“Daripada laporan tersebut bulan lalu, ia agak mengejutkan saya kerana walaupun kita beri ratusan peluang pembiayaan mikro, hanya sekitar enam peratus di Kuala Lumpur mendapat manfaat ini.
“Sudah tentu terdapat disconnect (tiada kesinambungan) antara pengumuman, peruntukan berbilion ringgit dan manfaat sebenar kepada para peniaga. Enam peratus itu terlalu rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucap tama di Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri Ke-12 bertajuk ‘Memacu Kedudukan Malaysia dalam Gelombang Baharu Aliran Modal Global’ di ibu pejabat Securities Commission Malaysia di sini, hari ini.
Anwar berkata lawatan tersebut akan melibatkan beberapa agensi pembiayaan termasuk Bank Rakyat, Amanah Ikhtiar Malaysia dan TEKUN Nasional bagi mendapatkan maklum balas secara langsung daripada peniaga kecil.
“Saya akan akan lawat sekitar jam 9.30 pagi bersama beberapa agensi,” katanya.
Anwar turut berkata kerajaan mahu memahami faktor sebenar yang menyebabkan ramai peniaga tidak menggunakan kemudahan kredit yang disediakan.
“Cabaran terbesar adalah bagaimana dasar dan angka besar ini dapat diterjemahkan kepada manfaat kepada rakyat biasa,” katanya.
Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Pengarah Eksekutif SC Datuk Mohammad Faiz Azmi dan Ketua Kumpulan serta Ketua Ahli Ekonomi, ASEAN+3 Macroeconomic Research Office, Allen Ng.
Pada 14 Mei lalu, Anwar mengumumkan Kerajaan MADANI menyediakan kemudahan pembiayaan mikro berjumlah lebih RM5 bilion bagi tahun ini yang dijangka memanfaatkan lebih 400,000 usahawan mikro di seluruh negara menerusi pinjaman sehingga RM100,000.