DUNIA
Doktor Tanpa Sempadan tempelak 'hipokrasi' EU terhadap Gaza

Menurut MSF, lebih 60,000 warga Palestin terbunuh sejak permulaan konflik, termasuk 12 anggotanya sendiri. - Gambar AP
GENEVA: Doktor Tanpa Sempadan (MSF) pada Khamis menempelak Kesatuan Eropah (EU) kerana kegagalan berterusan blok itu untuk bertindak tegas menghentikan apa yang digelar oleh organisasi itu sebagai "pembersihan etnik terancang" di Gaza dengan mendakwa, EU bersubahat dan menyebabkan penderitaan besar yang disengajakan.
Menurut laporan Anadolu Ajansi dalam satu kenyataan terbuka di platform X, MSF memaklumkan, telah menghantar surat terbuka kepada pemimpin EU hampir sebulan lepas, pada 16 Jun, mendesak tindakan segera untuk menghentikan kekejaman serius yang berlaku di wilayah Palestin.
"EU boleh dan mesti bertindak sekarang untuk menghentikan kekejaman di Gaza tetapi apabila anggota EU berdiam diri, pembersihan etnik yang dirancang di Gaza masih berterusan."
Menurut MSF, lebih 60,000 warga Palestin terbunuh sejak permulaan konflik, termasuk 12 anggotanya sendiri. Terbaharu, seorang kakitangan MSF turut terbunuh pada 3 Julai ketika cuba mengambil sekampit tepung.Organisasi kemanusiaan itu menegaskan, penyiksaan manusia dan kebuluran terhadap rakyat Palestin di Gaza adalah terancang.
Bantuan kemanusiaan digunakan sebagai senjata dan disekat, sementara perkhidmatan kesihatan disasarkan setiap hari.
MSF juga mengecam keputusan Majlis Hal Ehwal Luar EU baru-baru ini, yang diterima pada hari Selasa, menyifatkannya sebagai tanda hipokrasi dan berat sebelah apabila ia berkaitan untuk melindungi orang awam dan mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Dalam menyampaikan tuntutannya, MSF menggesa EU untuk menukar kata-kata menjadi tindakan dan menghentikan sikap berat sebelah, sambil mengingatkan tanggungjawab undang-undang dan moral setiap negara untuk menghentikan kekejaman berterusan.
Surat itu ditujukan kepada pemimpin tertinggi EU, termasuk Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen; Presiden Majlis Eropah, Charles Michel; Presiden Parlimen Eropah, Roberta Metsola dan Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas.
Mesyuarat Menteri Luar EU pada Isnin dan Selasa membincangkan kebimbangan terhadap serangan Israel di Gaza, namun gagal mencapai kata sepakat.
Tiada keputusan rasmi untuk menggantung Perjanjian Persatuan EU-Israel atau mengenakan sekatan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami