INTERNATIONAL
Dokumen sulit ketenteraan UK ditemui dibuang di jalan kawasan perumahan

Kementerian Pertahanan (MoD) United Kingdom (UK) sedang menyiasat selepas himpunan dokumen yang mengandungi maklumat sulit ketenteraan ditemui dibuang di atas jalan. - Foto hiasan
LONDON: Kementerian Pertahanan (MoD) United Kingdom (UK) sedang menyiasat selepas himpunan dokumen yang mengandungi maklumat sulit ketenteraan ditemui dibuang di atas jalan, lapor PA Media/dpa.
Dokumen itu, sebahagiannya ditandakan sebagai "rasmi - sensitif", ditemukan bertaburan daripada sebuah beg plastik sampah hitam di kawasan Scotswood, Newcastle pada 16 Mac.
Menurut laporan BBC, dokumen itu mengandungi butiran mengenai pangkat tentera, jadual bertugas, alamat e-mel, rekod pengeluaran senjata serta maklumat akses ke kemudahan ketenteraan.
Dokumen itu dipercayai berkaitan dengan unit yang berpangkalan di Catterick Garrison.Penemuan itu dibuat oleh Mike Gibbard, seorang peminat bola sepak dari Gateshead, yang menemukan dokumen berkenaan ketika meletakkan kenderaan sebelum perlawanan akhir Piala Carabao antara Newcastle United dan Liverpool.
Beliau memberitahu BBC bahawa beliau terkejut dengan apa yang dilihatnya.
"Dokumen itu bertimbun di tepi dinding, dalam beg plastik hitam, di atas jalan, di bawah kereta - berselerak di sepanjang jalan," katanya.
Beliau turut menemukan lebih banyak dokumen di seberang jalan dan berasa bimbang dengan kandungannya.
"Ia mengandungi butiran perimeter, rondaan, rekod pemeriksaan senjata, permohonan cuti, nombor telefon bimbit, pegawai berpangkat tinggi.
"Ini sepatutnya tidak berada di sini, sesiapa sahaja boleh mengambilnya," katanya kepada BBC.
Garis panduan kerajaan menyatakan bahawa beberapa dokumen bertanda "rasmi - sensitif" boleh menimbulkan "ancaman kepada nyawa" jika terdedah kepada pihak yang tidak sepatutnya.
Dokumen itu telah diserahkan kepada Polis Northumbria sebelum diberikan kepada MoD.
Dalam satu kenyataan, jurucakap MoD berkata pihaknya sedang menyiasat perkara itu dan ia tertakluk kepada siasatan dalaman yang sedang dijalankan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami