KUALA LUMPUR: Pakar Maksilofasial, Dr Naseem Ghazali, merupakan antara lima pakar perubatan dari Malaysia yang berkhidmat di Hospital Al-Shifa, Gaza selama tiga minggu pada Februari lalu.
Berpengalaman sebagai pakar perunding pembedahan mulut, maksilofasial serta kepala dan leher, beliau menyifatkan pengalaman pertama berkhidmat di zon konflik jauh lebih mencabar.
Advertisement
“Kita menerima pesakit yang mengalami jangkitan melibatkan benda asing dalam badan, seperti luka akibat serpihan bom yang tertanam dalam tempoh yang lama.
“Saya juga agak terkejut melihat jumlah kes ketumbuhan, sama ada jinak atau ganas, di bahagian kepala dan leher pesakit ternyata lebih tinggi daripada jangkaan,” katanya ketika wawancara bersama Astro AWANI secara dalam talian semalam.
Dr Naseem turut mengesahkan kebanyakan pesakit kerap mengalami jangkitan gigi dan muka akibat kesukaran mendapatkan rawatan di zon darurat tersebut.
Namun apa yang mendukacitakan beliau ialah petugas kesihatan berdepan kesukaran kerana kekurangan peralatan untuk merawat pesakit.
Malah, di sebalik tanggungjawab, keterbatasan peralatan dan kepakaran menyebabkan beberapa pesakit tidak dapat dirawat sepenuhnya.
“Ada pesakit yang memerlukan rawatan susulan selepas pembedahan, seperti fisioterapi untuk pemulihan. Persoalannya, adakah perkhidmatan itu tersedia untuk menyokong mereka? Hakikatnya, dalam banyak keadaan, ia tidak mencukupi,” katanya.
Di sebalik segala kepayahan dalam tempoh singkat itu, Dr Naseem bersama barisan pakar lain termasuk seorang ketua pasukan, pakar obstetrik dan ginekologi, pakar maksilofasial serta seorang jururawat pakar terus komited menjalankan tugas mereka.
Menurut beliau, hampir 40 hingga 50 pesakit sehari berjaya dirawat di satu-satunya hospital yang menyediakan rawatan maksilofasial di Gaza.
“Dari sudut emosi, perasaan itu sangat berat; sedih, kecewa, malah kadangkala timbul rasa bersalah kerana tidak dapat membantu sepenuhnya seperti yang diharapkan.
“Namun, dalam saat-saat itu, kita belajar untuk berserah kepada Allah dan menerima hakikat bahawa ada batasan yang tidak mampu kita atasi,” katanya.
Pada masa sama, Dr Naseem turut berkongsi pengalaman menyampaikan ilmu kepada pelajar di sebuah fakulti pergigian dalam suasana cemas, namun kehadiran pelajar tetap memberangsangkan.
“Salah satu matlamat kami bukan sekadar membantu setakat yang mampu di lapangan, tetapi juga memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti.
“Ini bermaksud kami berusaha meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan keupayaan masyarakat tempatan,” katanya lagi.
Kini beliau berkhidmat di Shrewsbury and Telford Hospital NHS Trust (SaTH) di United Kingdom, selain berpengalaman luas membantu mangsa konflik di Kemboja, Nepal dan Maghribi.
Namun untuk misi kali ini, beliau berkhidmat di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MERCY Humanitarian United Kingdom selaku wakil MERCY Malaysia bagi Unit Pasukan Perubatan Kecemasan, yang berada di bawah koordinasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Gaza.